Buat pertama kalinya, jumlah kes baharu berkaitan penularan wabak COVID-19 yang dilaporkan di luar China lebih tinggi berbanding dengan kes baharu di republik tersebut, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu.

WHO berkata jumlah kes baharu di China ialah 411 pada Selasa, manakala di negara lain pula ialah 427 kes.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata setakat pagi Rabu, 78,190 kes, direkodkan di China dan angka tersebut juga merangkumi 2,718 kes kematian.

Di negara-negara lain pula, beliau akui peningkatan kes di luar China mendorong WHO untuk pertimbang mengisytiharkan wabak tersebut sebagai pandemik.

“Kami tidak mahu terlalu cepat mengisytiharkan pandemik,” katanya.

Beliau menegaskan pengisytiharan itu akan memberi petanda WHO tidak mampu lagi mengawal virus tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan WHO tidak akan teragak-agak mengisytiharkannya sebagai pandemik jika ia gambaran tepat mengenai situasi semasa.

Dalam perkembangan sama, lima wilayah di China telah menurunkan paras tindak balas kecemasan selepas menilai risiko kesihatan yang menurun.

Rantau Mongolia di utara China, barat wilayah Xinjiang, barat daya wilayah Sichuan, timur laut wilayah Jilin dan selatan pulau Hainan masing-masing telah menurunkan tahap tindak balas kecemasan mereka.

China juga telah mengkuarantin 257 penumpang daripada dua penerbangan dari Korea Selatan, menurut laporan CCTV pada Rabu.

BACA: COVID-19: Peningkatan kes di luar China membimbangkan - WHO

China mengkuarantin 94 penumpang dalam penerbangan dari Seoul selepas mendarat di Nanjing pada Selasa dan tiga daripada mereka memiliki simptom demam.

Republik tersebut juga mengkuarantin 163 penumpang dalam penerbangan dari Korea Selatan ke timur badar Weihai pada Rabu setelah mendapati lima penumpang menunjukkan tanda-tanda demam.