Singapura mengikuti jejak langkah Amerika Syarikat (AS) apabila meluluskan penggunaan ubat antivirus Remdesivir untuk merawat pesakit positif COVID-19.

Ini menjadikan Singapura negara keempat mengambil langkah sedemikian selepas Jepun dan Korea Selatan, lapor AFP.

Pihak Berkuasa Sains Kesihatan berkata mereka sudah mempercepatkan kajian penggunaan Remdesivir berikutan keperluan mendesak bagi kesihatan umum ketika pandemik COVID-19.

Kelulusan bersyarat itu bagi merawat pesakit dewasa dijangkiti virus itu, terutama yang perlukan bantuan pernafasan intensif.

Dalam pada itu, pihak berkuasa mewajibkan pengeluar ubat berkenaan yang berpangkalan di AS, Gilead Sciences Inc, untuk mengumpul data keselamatan dan memantau penggunaannya.

Remdesivir yang dihasilkan syarikat biofarmaseutikal itu pada asalnya untuk merawat Ebola.

BACA: Ini 5 jenis ubat masih dalam kajian, berpotensi rawat COVID-19

Singapura sebelum ini melakukan pemantauan rapi terhadap virus itu, selaras dengan saringan ketat dan pengesanan kontak, namun masih menyaksikan penularan serius wabak itu di asrama pekerja asing.

Untuk rekod, republik itu kini merekodkan jangkitan tertinggi di Asia Tenggara dengan hampir 39,000 kes, kebanyakannya dalam kalangan pekerja asing manakala kadar kematian kekal pada 25 orang.

BACA: COVID-19: 451 kes baharu di Singapura, jumlah keseluruhan 38,965