Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

COVID-19: Video petugas perubatan menari di Wuhan curi perhatian

COVID-19: Video petugas perubatan menari di Wuhan curi perhatian
Video pengamal perubatan yang dipinjamkan ke Wuhan menari bersama beberapa pesakit di sebuah hospital sementara di Wuhan tular di media sosial. REUTERS
KETIKA China dan negara dunia yang lain mengambil langkah proaktif menangani wabak COVID-19, sepasukan pengamal perubatan yang dipinjamkan ke Wuhan mencuri tumpuan apabila cuba mententeramkan situasi.

Ia mula menjadi perbualan hangat apabila video mereka menari bersama beberapa pesakit di sebuah hospital sementara di Wuhan tular di media sosial.

Ia sekali gus memberi gambaran keadaan di sana tenang dan menggembirakan di sebalik kebimbangan masyarakat dunia. 

Pada 5 Februari lalu, pasukan kedua petugas perubatan yang terdiri daripada 102 petugas dari wilayah Xinjian tiba di Wuhan bagi membantu menangani COVID-19.
Umum juga sedia maklum, petugas perubatan perlu lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri hampir seharian.



BACA: [LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat
Apabila dimaklumkan virus tersebut dikatakan mudah merebak sekiranya berambut panjang, kebanyakan mereka membuat keputusan untuk memotong pendek rambut mereka.

Itu juga dilakukan seorang jururawat yang dihantar dari Kashgar, Xinjiang ke Wuhan.

Salah seorang pesakit di hospital sementara tersebut, Chen Yuzhen menyuarakan kegembiraannya walaupun terpaksa menerima rawatan akibat virus tersebut. 

"Pekerja perubatan dari Xinjiang sangat pemurah, bersahaja dan baik hati. Ketika waktu bekerja yang amat panjang, masing-masing berada di tempat yang ditugaskan dan sentiasa memeriksa pesakit.

"Mereka juga memberikan tumpuan kepada pesakit.

"Sekiranya ada yang tidak merasa selesa, mereka akan memeriksa suhu badan mereka secepat mungkin. Mereka juga menjawab setiap panggilan dan memberikan ubat tepat pada masanya," luahnya.

Petugas perubatan yang bekerja di hospital sementara di Wuhan merangkumi petugas dari Xinjiang, Chongqing, Anhui, Guangdong dan Shaanxi.

Mereka berganding bahu menjaga dan memeriksa pesakit bagi menangani wabak COVID-19.

BACA: Semak fakta: Kelawar bersarang bawah bumbung punca COVID-19?


Malah, untuk lebih menenangkan keadaan dan pesakit di sana, sebuah dinding dikhaskan untuk menyuarakan hasrat pesakit dan petugas yang dipinjamkan.

"Saya adalah salah seorang jururawat dari Kashgar, Xinjiang. Saya menyuarakan, 'Teruskan, China dan Wuhan. Teruskan kerja keras semua petugas perubatan'," ujar petugas yang dipinjamkan, Wang Jian. 

Setakat ini, China mengesahkan lebih 66,000 kes positif COVID-19 dengan lebih 1,500 nyawa terkorban di republik itu.

Bagi menangani wabak itu dan mengukuhkan lagi pasukan perubatan di Hubei, kira-kira 10,000 petugas perubatan dipinjamkan ke wilayah berkenaan.

BACA: COVID-19: Kematian di China meningkat kepada 1,524 orang