Hajat ingin belajar bermain video game bertukar tragedi buat seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Hyde, Greater Manchester, United Kingdom.

Ini kerana dia menjadi mangsa nafsu serakah seorang lelaki yang bertindak merogolnya lebih 100 kali sejak tahun 2003 hingga 2007.

Perbuatan seks luar tabii itu dilakukan Anwar Ali, 33, dengan ‘memancing’ mangsa bermain permainan video di dalam biliknya.

Mangsa yang masih naif hanya menurut permintaan suspek sehinggalah suspek bertindak di luar batasan dan memperlakukan mangsa sebagai alat pemuas nafsunya.

Tindakan suspek hanya dilaporkan tahun lalu oleh mangsa yang kini menderita tidak dapat tidur malam dan mengalami trauma ekoran kejadian itu.

Antara lain, mangsa juga menderita penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD) dan sekiranya disentuh seseorang, mangsa bertindak membersihkan kulitnya sehingga menjadi kemerah-merahan.

Anwar dijatuhi hukuman penjara 21 tahun setelah disabitkan dengan beberapa pertuduhan melibatkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun.

Ketika melakukan serbuan di rumah suspek, polis turut menemukan gambar kanak-kanak dalam komputer riba miliknya.