Pesawat jenis E-11A yang terhempas di Afghanistan pada Isnin disahkan milik Tentera Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap Tentera AS, Kolonel Sonny Leggett dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan perkara itu, namun menafikan pesawat terbabit ditembak jatuh oleh Taliban.

Jelasnya, siasatan awal mendapati terdapat lima anggota tenteranya di dalam pesawat berkenaan sebelum terhempas. Bagaimanapun, angka sebenar sebenar tidak didedah sehingga kini.

“Punca pesawat itu terhempas masih dalam siasatan, bagaimanapun tiada indikasi menunjukkan pesawat itu ditembak oleh musuh,” jelas Leggett.

Nahas pesawat itu dikhuatiri mencemarkan rundingan AS dan Taliban bagi menamatkan perang yang telah berlarutan sejak 18 tahun lalu. - Foto REUTERS

Bagaimanapun, pegawai kanan kerajaan Afghanistan dalam satu kenyataan kepada Reuters, mengatakan anggota tentera mereka telah dikerahkan ke lokasi nahas di kawasan pergunungan yang dikawal Taliban untuk mengesahkan bangkai pesawat itu.

BACA: Selepas Ariana Airlines nafi, pesawat terhempas didakwa milik tentera AS pula

BACA: Pesawat Afghanistan bawa 80 penumpang terhempas


Sementara itu, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid mendedahkan bahawa pesawat berkenaan ditembak jatuh pihaknya, ketika sedang menjalankan intipan di sekitar kawasan Sado Khel di bawah wilayah Ghazni.

Pesawat E-11A yang dibina oleh Bombardier Incorporation itu digunakan untuk meningkatkan komunikasi tentera AS di kawasan terpencil.

Nahas pesawat itu dikhuatiri mencemarkan rundingan AS dan Taliban bagi menamatkan perang yang telah berlarutan sejak 18 tahun lalu.

Semalam Reuters melaporkan sebuah pesawat yang pada awalnya dipercayai milik kerajaan Afghanistan, Ariana Airlines yang sedang membawa sekurang-kurangnya 80 penumpang terhempas di wilayah Ghazni, kawasan yang dikawal kumpulan Taliban negara itu pada Isnin.

Bagaimanapun, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ariana Airlines, Mirwais Mirzakwal menafikan pesawat syarikat penerbangan itu terbabit dalam kemalangan seperti yang didakwa oleh pegawai kerajaan Afganistan itu.