Pegawai Kesihatan Jepun mengesahkan seramai empat mangsa dalam penerbangan yang tiba di Tokyo dari Wuhan, lokasi di mana wabak koronavirus mula dikesan, mempunyai simptom koronavirus.

Menurut laporan portal Japan Times, keempat-empat mangsa daripada 206 penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Haneda pada pagi Rabu tersebut, mengalami batuk dan demam.

BACA: AS, Jepun cadang pindahkan rakyat yang terperangkap di Wuhan


BACA: Koronavirus: Jepun catat kes pertama dari mangsa tidak pernah ke Wuhan

Penerbangan yang mengambil masa tiga jam 30 minit itu telah mengarahkan kesemua penumpang dilengkapi bekalan bantuan kecemasan termasuk memakai topeng dan sarung tangan.

Ujian saringan terhadap kesemua rakyat Jepun itu juga telah dilakukan oleh pegawai kesihatan sebagai langkah waspada.

Empat mangsa yang dikuarantin itu dilaporkan seorang wanita berusia 50-an dan tiga lelaki yang berusia dalam lingkungan 30 tahun hingga 50 tahun.

Mereka kini dilaporkan telah dihantar ke hospital Tokyo menaiki ambulans berasingan bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, kerajaan Jepun membuat keputusan bagi membawa pulang lebih kurang 650 rakyatnya yang terperangkap di Wuhan selepas kerajaan China telah menghalang sebarang pergerakan keluar dan masuk dalam mengekang penularan wabak novel koronavirus.

Setakat ini, jangkitan koronavirus dilaporkan telah mengorbankan sebanyak 132 nyawa dan lebih daripada 6,000 kes dipercayai positif jangkitan tersebut.