Sebuah helikopter terhempas di pesisiran pantai barat Norway pada Jumaat, kata pihak polis, sementara media tempatan melaporkan ia membawa antara 13 hingga 17 penumpang.

Beberapa saksi berkata, seperti yang dilaporkan di saluran TV2 negara itu, mereka melihat ledakan yang kuat dan penumpang yang terapung di laut, selain beberapa mangsa yang berjaya diselamatkan.

“Pasukan kecemasan telah digegaskan ke kawasan berdekatan Turoy selepas nahas helikopter itu dilaporkan,” kata polis Norway dalam akaun Twitter rasmi mereka.

Turoy adalah sebuah pulau di luar pesisiran barat bandar Bergen.

Antara laporan awal mendedahkan helikopter itu sedang menghantar pekerja-pekerja ke lokasi pelantar minyak di Laut Utara.

Rakaman langsung juga menunjukkan bot-bot pesiaran turut bergegas ke lokasi nahas, dengan asap hitam berkepul-kepul ke udara.