"HITLER pasti menyukai media sosial."

Demikian diungkapkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Bob Iger, ketika berucap semasa menerima anugerah kemanusiaan pada majlis makan malam Simon Wiesenthal Center pada Rabu.

Menurut Iger, media sosial seperti Facebook dan Twitter merupakan alat pemasaran yang sangat berkesan bagi golongan ekstremis kerana ia mencerminkan sudut pandangan dunia dari pemikiran yang sempit.

Sekali gus, beliau turut berpendapat peranan media sosial mengukuhkan keyakinan tentang suatu perkara yang tidak selalu sahih dan melahirkan rasa takut yang mendalam.

"Ia mewujudkan rasa yang tidak benar, bahawa semua orang berkongsi pendapat yang sama.

‘Kita semua tahu bahawa kandungan di laman media sosial mengandungi lebih banyak fiksyen daripada fakta.

"Ia lebih kepada menyebarkan ideologi yang jahat yang tidak mempunyai tempat dalam masyarakat awam yang menghargai kehidupan manusia," kata Iger.

BACA: Serangan pengganas Christchurch: FB sekat 1.5 juta video dalam tempoh 24 jam

Perkara ini dapat dikaitkan dengan tragedi serangan pengganas di New Zealand pada bulan lalu, di mana Facebook telah menjadi tumpuan ramai selepas serangan keganasan di masjid Christchurch ditayangkan secara langsung di platform tersebut oleh pelaku terbabit.

Susulan itu, Facebook mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah lama menyekat unsur-unsur kebencian di kalangan bangsa, tetapi tidak menggunakan rasional yang sama ke atas nasionalisme kulit putih.

BACA: Cabaran media sosial: Apa yang dibuat syarikat media sosial tidak memadai

“Hal ini kerana kami memikirkan konsep yang lebih luas mengenai nasionalisme dan separatisme, iaitu perkara-perkara seperti kebanggaan Amerika, yang menjadi bahagian penting dalam identiti seseorang,” tambahnya.

Susulan kejadian di Christchurch pada Mac itu, syarikat media sosial tersebut telah dikritik hebat kerana tidak mengambil tindakan berkesan dalam menghalang penyebaran kebencian dan kandungan bermasalah pada platform mereka.

BACA: Tembakan di Christchurch, SKMM tidak bercadang tutup Facebook