Indonesia melaksanakan sekatan ke atas pelancong asing ke wilayah Papua.

Ia susulan empat warga Australia yang diusir berhubung dakwaan mereka menyertai bantahan menuntut kemerdekaan.

Selama dua minggu Papua berhadapan dengan protes besar-besaran yang dicetuskan akibat kemarahan berhubung isu perkauman selain desakan untuk membentuk pentadbiran sendiri.

Memetik laporan portal AFP, menurut Ketua Menteri Keselamatan Indonesia, Wiranto, negara itu akan mengehadkan kemasukan warga asing ke wilayah paling timur itu dan akan menyekat sesiapa disyaki mahu menghasut.

“Kami akan mengehadkan buat sementara kemasukan ke Papua.

“Ia tidak bermakna kami tidak akan membenarkan sesiapapun masuk. Ada tapisan berdasarkan isu keselamatan,” katanya pada Selasa.

BACA: Indonesia hantar lebih ramai polis bantuan ke Papua selepas keganasan baharu meletus

BACA: Rusuhan: Jokowi seru rakyat di wilayah Papua bermaafan

Bagaimanapun, dasar itu menerima kecaman daripada media dan kumpulan penyokong kebebasan bersuara.

Jelasnya, dasar tersebut diambil bagi melindungi warga asing daripada menjadi mangsa rusuhan.

“Sukar untuk membezakan antara warga asing yang ada di situ untuk membuat provokasi dan campur tangan daripada mereka yang melancong ke sana,” katanya.