Polis Karnataka di Selatan India menahan seorang pemandu bas persendirian untuk membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan dua pelajar perubatan, termasuk seorang rakyat Malaysia pada Rabu.

Konsul Pendidikan dan Latihan di Pejabat Konsulat Jeneral di Chennai, Sahubar Ibrahim Ismail Gani ketika dihubungi pada Jumaat, mengesahkan penahanan itu, lapor Bernama.

Pelajar Malaysia itu, S. Uthaya Kumar, 23, merupakan penuntut tahun ketiga tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) di Kolej Perubatan Manipal Melaka (MMMC) - Kampus Manipal Campus.

"Mendiang meninggal dunia apabila motosikal yang diboncengnya terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah bas antara jam 11.00 malam ke 12.00 tengah malam di Chitradurga. Lokasi kemalangan terletak kira-kira 600 kilometer barat dari Chennai," jelas kenyataan daripada Kementerian Luar pada Khamis.

Pelajar dari India itu mati di tempat kejadian, manakala Uthaya dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke sebuah hospital di Chitradurga, kira-kira 250km dari Bangalore, Karnataka.

Kepada Bernama, Sahubar Ibrahim memberitahu, bapa Uthaya dan seorang anggota keluarga tiba di Bangalore untuk membantu membawa pulang jasadnya ke Malaysia.

Sahubar Ibrahim berkata beliau dan seorang lagi pegawai dari Pejabat Konsulat Jeneral telah membantu keluarga terbabit.

"Bedah siasat telahpun selesai dan kami sedang membuat persiapan untuk membawa jenazah Uthaya ke Bangalore, dan jasadnya dijangka tiba di Malaysia pada awal pagi Ahad," katanya.

Difahamkan, Uthaya meninggalkan Manipal bersama konvoi penunggang motosikal daripada sebuah kelab tempatan, menuju ke Nagpur pada 21 Januari.

Kemalangan berlaku semasa kumpulan itu dalam perjalanan balik ke Manipal.

Mendiang Uthaya sepatutnya pulang ke Malaysia pada Mac ini untuk menyambung pengajian di kampus MMMC di Melaka.