ANGKA kematian di China akibat penularan wabak koronavirus baharu COVID-19 terus meningkat kepada 1,112 orang dengan pertambahan kes positif jangkitan sebanyak 44,437 orang setakat ini.

Daripada jumlah itu, seramai 4,638 pesakit dilaporkan telah sembuh, namun jumlah kes baharu sentiasa merekodkan peningkatan.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kes COVID-19 secara global setakat pukul 8 pagi Rabu adalah seramai 44,914 melibatkan 29 buah negara.

Dalam perkembangan lain, pertambahan kes positif COVID-19 turut direkodkan di Hong Kong dengan jumlah terkini 49 kes, manakala Thailand pula seramai 33 orang.

Terdahulu, dua kes kematian telah direkodkan di luar China iaitu di Hong Kong dan Filipina.

BACA: COVID-19, nama rasmi novel koronavirus

BACA: Pelancong Kanada antara tujuh suspek baharu kes koronavirus di Sarawak

BACA: Kes disahkan koronavirus di Thailand bertambah satu lagi, jumlahnya terkini 33


Pada Selasa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan COVID-19, yang bermaksud 'Penyakit Virus Korona' adalah nama rasmi bagi novel koronavirus 2019.

Menurut Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, nama tersebut diberi berlandaskan garis panduan yang ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO).

Tedros turut memaklumkan pihaknya telah mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).