KIRA-kira 8,000 mangsa dipindahkan ke 38 pusat pemindahan di wilayah Batangas dan Cavite, susulan Gunung Berapi Taal terus memuntahkan asap tebal pada Isnin.

Pada masa sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Aquino, Manila, juga terpaksa ditutup sementara malam tadi selepas ia diselubungi debu letusan gunung berapi yang berlaku sejak Ahad.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Filipina (CAAP), operasi penerbangan domestik dan antarabangsa telah dihentikan sementara susulan debu gunung berapi yang menjejaskan jarak penglihatan.

Agensi berita AP melaporkan, walaupun tiada kerosakan atau kemalangan jiwa berlaku, namun pihak berkuasa mengambil keputusan memindahkan ribuan penduduk dari kawasan sekitar gunung berapi tersebut.

Pihak berkuasa mensasarkan lebih 300,000 penduduk sekitar akan dipindahkan ke pekan berhampiran dalam tempoh beberapa hari seterusnya.

BACA: Gunung berapi paling aktif di selatan Manila meletus

Ketua Institusi Kajian Gunung Berapi, Renato Solidum, pada Ahad menaikkan tahap amaran Taal pada peringkat keempat, yang memberi petunjuk letusan merbahaya akan berlaku dalam masa yang singkat.

Peringkat kelima, iaitu tahap tertinggi, membawa maksud letusan gunung berapi akan melanda bila-bila masa, dan mengakibatkan impak pada radius kawasan yang jauh lebih besar.

Selain Lapangan Antarabangsa Manila, Lapangan Antarabangsa Clark juga ditutup ekoran debu gunung berapi yang tebal.

Pihak berkuasa juga dilaporkan berkata, mereka sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mengalihkan laluan penerbangan ke lapangan terbang di luar Manila yang tidak terjejas.

Gunung berapi yang terletak 65 kilometer di selatan Manila, dilaporkan telah kembali aktif dan mengeluarkan debu pada petang Ahad.

Situasi itu mengakibatkan penduduk dan pelancong di sekitarnya meninggalkan kawasan terbabit bagi menyelamatkan diri.