Lima negara mangsa nahas pesawat Ukraine yang ditembak jatuh di Tehran minggu lalu mengemukakan rangka kerja melibatkan siasatan dan pampasan kepada negara Iran dalam satu pertemuan yang diadakan di London pada Khamis.

Mereka turut menuntut siasatan antarabangsa dilakukan melibatkan nahas berkenaan.

Cadangan rangka kerja berkenaan kemudian akan disiarkan secara dalam talian.

Pertemuan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Kanada di London itu melibatkan wakil lima negara yang menganggotai Kumpulan Bertindak dan Koordinasi Antarabangsa untuk keluarga mangsa Nahas pesawat PS752.

Sebelum itu, satu majlis memperingati mangsa terbunuh turut diadakan melibatkan kehadiran Menteri Hubungan Luar Kanada,Francois-Philippe Champagne dan rakan sejawatannya dari Ukraine, Vadym Prystaiko.

BACA: Perakam video pesawat Ukraine terhempas ditahan

BACA: Rakaman kejadian pesawat Ukraine ditembak jatuh Iran tular

Nahas itu yang pada mulanya didakwa Iran adalah disebabkan masalah teknikal terus menjadi pertikaian banyak negara apatah lagi apabila Tehran enggan menyerahkan kotak hitam pesawat kepada syarikat Boeing mahupun Amerika Syarikat.

Pesawat milik Ukraine itu ditembak jatuh pada 8 Januari lalu, menyebabkan kesemua 176 orang anak kapal serta penumpang terbunuh termasuk 57 warga Kanada.

Peristiwa hitam buat Ukraine itu berlaku ketika hubungan Iran dan Amerika Syarikat tegang selepas pembunuhan komander keselamatan dan perisikan Iran, Jeneral Qassem Soleimani dalam serangan dron AS di Baghdad pada Jumaat minggu lalu.