Maharaja Jepun, Akihito, yang bakal turun takhta pada penghujung April nanti, berkesempatan meraikan ulang tahun ke-30 pemerintahannya pada Ahad, seiring dengan seruan penting kepada rakyatnya.

Reuters melaporkan, Akihito bertitah supaya rakyat Jepun untuk terus menunjukkan amalan terbuka dan menjalinkan hubungan ikhlas di seluruh dunia.

Akihito yang berusia 85 tahun itu menjadi lambang kedamaian dan perdamaian selepas kematian bapanya Hirohito, yang merupakan maharaja yang bertanggungjawab ke atas penglibatan Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Akihito turut bertegas agar rakyat Jepun meneruskan agenda perdamaian.

"Saya fikir negara kita, kini diminta untuk lebih terbuka kepada dunia global, bagi memperkukuhkan kedudukannya sendiri dengan kebijaksanaan dan membina hubungan dengan negara lain dengan ikhlas," titah Akihito.

Akihito akan turun takhta pada 30 April, dan tempat baginda akan digantikan oleh Mahkota Putera Naruhito, 59 tahun, dalam satu upacara keesokannya.

Upacara berkenaan akan dihadiri Maharani Michiko, Perdana Menteri Shinzo Abe dan para pembesar lain.

Hubungan Jepun dengan negara-negara jiran seperti China dan kedua-dua negara Korea telah lama dibelenggu oleh warisan pahit penjajahan dan koloni Tokyo sekitar tahun 1910-1945 di Semenanjung Korea.

Hubungan dengan Seoul, khususnya, telah menjadi dingin oleh perseteruan memori perang yang lepas dan perbalahan ketenteraan.

Akihito ditakrifkan oleh perlembagaan pasca perang sebagai simbol perpaduan tanpa kuasa politik tetapi dihormati secara meluas, walapun bapanya sebelum ini pernah diangkat sebagai 'dewa' oleh rakyatnya.

Akihito, turut memetik sebuah puisi hasil tulisan Michiko pada tahun 1989 tentang keamanan yang antara lain menyebut: "Negara ini penuh dengan harapan ramai yang mahukan era keamanan dibina bersama-sama."

Akihito sebelum ini pernah memberi bayangan dalam satu program televisyen pada tahun 2016 untuk turun takhta kerana usianya yang sudah lanjut.

Pada Ahad, ketika membacakan titahnya, Michiko turut berada di sebelah Akihito bagi membantu menyusun teks ucapan beliau.