Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Maklumat penghidap HIV bocor: Maafkan kami - Menteri Kesihatan Singapura

Maklumat penghidap HIV bocor: Maafkan kami - Menteri Kesihatan Singapura
GAN: -Kami sedang bekerjasama dengan pihak polis dan pihak berkaitan untuk menghalang maklumat ini dari terus tersebar dalam talian. - Foto Facebook Ministry of Health, Singapore
SINGAPURA: "Maafkan kami."

Itu luahan Menteri Kesihatan Singapura (MOH), Gan Kim Yong yang tampil memohon maaf susulan kebocoran data 14,200 penghidap HIV di republik itu yang dipercayai didedahkan oleh seorang bekas banduan warga Amerika Syarikat (AS) di dalam talian.

“Saya meminta maaf kerana salah seorang kakitangan kami yang pernah dibenarkan untuk mendapatkan maklumat sulit berhubung daftar pesakit HIV telah tidak mematuhi garis panduan keselamatan.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak polis dan pihak berkaitan untuk menghalang maklumat ini dari terus tersebar dalam talian. Kami amat mengambil serius perkara ini,” kata Gan  kepada wartawan di sini pada Isnin, lapor media tempatan.
BACA: Singapura gempar status HIV positif bagi 14,200 individu terbocor dalam talian

MOH pada Isnin mendedahkan maklumat rahsia yang dibocorkan termasuk milik 5,400 warga Singapura yang dikesan menghidap HIV sehingga Januari 2013 dan 8,800 warga asing yang didiagnosis dengan HIV sehingga Disember 2011.
Maklumat tersebut adalah termasuk nama, nombor telefon, butiran pasangan (nombor telefon dan alamat), keputusan ujian HIV dan maklumat perubatan berkaitan, menurut kenyataan dalam laman web MOH.

Selain itu, nama, nombor pengenalan diri, nombor telefon dan alamat 2,400 individu yang dikenal pasti mempunyai hubungan dengan penghidap HIV tersebut sejak Mei 2007, turut didedahkan dalam talian.

Menurut MOH, maklumat sulit yang dibocorkan itu berada dalam simpanan Mikhy K. Farrera Brochez, lelaki warga Amerika Syarikat itu yang menetap di Singapura atas pas kerja, antara Januari 2008 dan Jun 2016.

MOH berkata pada Mei tahun lalu, selepas Brochez diusir dari Singapura, MOH menerima maklumat bahawa lelaki itu masih menyimpan sebahagian daripada rekod yang dia ada pada 2016 tetapi maklumat tersebut tidak didedahkan kepada umum dalam sebarang bentuk.

Bagaimanapun, MOH berkata, Selasa lalu, pihaknya dimaklumkan bahawa lebih banyak maklumat daripada Pejabat Pendaftaran HIV mungkin masih lagi dalam simpanan Brochez.

MOH berkata Brochez masih dalam siasatan polis atas pelbagai kesalahan dan pihak berkuasa tempatan sedang mendapatkan bantuan pihak berkuasa di luar negara bagi mengesan lelaki tersebut.
.


Tag: HIV, AS, Singapura, polis, data pesakit bocor, Amerika Syarikat, perubatan, warga asing, Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.