Big Ben, yang menjadi mercu menara jam dunia, genap 160 tahun pada Jumaat ketika usaha pemuliharaan giat dijalankan bagi memastikan masa depan ikon itu.

Agensi berita Xinhua melaporkan, jam berkenaan yang menghiasi bangunan Parlimen, menjadi destinasi utama pelancong kota London bagi merakam gambar kenang-kenangan.

Jam berkenaan dipasang pada Menara Elizabeth pada 1859 menampilkan ciri hebat dua pengimbang berat berkaki tiga yang mengatur gerakan jam, dengan memastikan ayunan bandul tidak terjejas dengan faktor luar seperti tekanan angin pada jarum yang boleh menjejaskan ketetapan masa.

Ketika mula dipasang pada April 1859, jam berkenaan tidak berfungsi kerana jarum yang diperbuat daripada besi tuang, terlalu berat untuk digerakkan motor jam.

Selepas ia digantikan dengan jarum yang diperbuat daripada tembaga, rekaan berkenaan mula menjadi penentu masa pada 31 Mei 1959.

Ketika ini, pasukan pakar dan jurutera jam Parlimen, terpaksa melaksanakan usaha baik pulih terbesar dalam sejarah Menara Elizabeth apabila terpaksa membuka satu persatu komponen jam terbabit.

Ribuan komponen jam yang beratnya melebihi 11 tan metrik, diturunkan daripada menara itu, sebelum kerja-kerja pemuliharaan menara dapat dijalankan.

Sebuah motor elektrik terpaksa digunakan buat sementara bagi menggerakkan jarum jam ketika mekanisma jam diperbaiki.

Selepas kerja-kerja lain berkaitan pemuliharaan menara selesai, komponen jam itu termasuk locengnya akan dipasang kembali di tempat asalnya.

"Selepas 160 tahun hampir tidak berhenti jam ini digunakan, keadaannya masih begitu bagus. Sejak bertahun-tahun ia dijaga tetapi kini, kami mencuci, memeriksa, mengecat dan menguji setiap komponen bagi memastikan ia akan terus menjadi penentu masa untuk negara buat 160 tahun lagi atau lebih lama," kata pembuat jam Parlimen, Ian Westworth.

Sejarah jam berkenaan sebenarnya bermula pada 1846 sewaktu Ahli Falak Diraja, Sir George Airy mengetuai pertandingan mereka dan membina jam.

Airy mahu melihat menara jam yang paling tepat masa di dunia dengan menegaskan ia mesti tepat dengan julat masa satu saat sahaja.

-- BERNAMA