KEPADATAN penduduk yang tinggi dan peralatan perubatan bagi merawat COVID-19 yang tidak mencukupi di Palestin memberi ancaman kepada kira-kira dua juta penduduk di Gaza.

Menurut Pengasas Bersama Pusat Kajian Inisiatif Strategik Palestin Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, ketika ini penularan wabak berkenaan lebih membimbangkan penduduk bandar tersebut berbanding ancaman Zionis.

“Dalam musim perang kalau jika dilihat, masih lagi ada pergerakan, masih ada yang ke masjid walaupun setiap hari boleh kedengaran bunyi roket, tembakan peluru, tembakan daripada kereta kebal dan sebagainya.

“Tetapi masih ada yang berani pergi ke masjid, sembahyang di masjid, berjemaah setiap kali waktu solat.

"Namun apabila dalam keadaan berdepan dengan musuh yang sangat kecil ini iaitu COVID-19, mereka berasakan takut untuk keluar, takut untuk berjumpa dengan ahli keluarga, takut untuk bertanya khabar dengan orang sekeliling dan menyebabkan perbezaannya ialah sebenarnya mungkin virus itu lebih menakutkan daripada ancaman musuh Zionis,” jelas beliau.

Sebagai langkah pencegahan awal, kerajaan di bumi Gaza kini telah pun mengarahkan penutupan masjid, sekolah serta universiti.

Jelasnya lagi, ini kerana sistem kekeluargaan di antara rakyat Malaysia dan Palestin adalah jauh beza sama sekali kerana di sana, hubungan di antara kaum keluarga sangat rapat.

Sementara itu, Nadir menambah bahawa bumi Gaza sudah berada dalam perintah berkurung sejak 2007, yang mana pergerakan dihalang, tidak boleh mendapatkan rawatan di luar dan itu sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat di sana apabila wabak pandemik ini memaksa mereka untuk berdepan dengan arahan duduk di rumah.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 263 kes positif COVID-19 sudah dicatatkan di Palestin dengan satu kematian setakat ini.

BACA: COVID-19: Kes pertama di Gaza, pihak berkuasa bimbang tak mampu tampung rawatan

BACA: Fearing Gaza virus spread, Hamas preps for mass quarantines