Berita  | Dunia

Penunjuk perasaan, polis bertempur di Lapangan Terbang Hong Kong

Penunjuk perasaan, polis bertempur di Lapangan Terbang Hong Kong
Beberapa kenderaan polis disekat oleh peserta protes, memaksa polis anti-rusuhan untuk bertindak dan menolak beberapa penunjuk perasaan termasuk menggunakan semburan lada. - Foto REUTERS
HONG KONG: Satu pertempuran di antara penunjuk perasaan dengan pihak polis telah berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong susulan protes yang menyebabkan hab pengangkutan itu terjejas.

Pergaduhan berlaku pada petang Selasa di antara dua pihak tersebut selepas salah seorang penunjuk perasaan yang cedera dibawa keluar dari terminal utama oleh pasukan perubatan.

Beberapa kenderaan polis disekat oleh peserta protes, memaksa polis anti-rusuhan untuk bertindak dan menolak beberapa penunjuk perasaan termasuk menggunakan semburan lada.

Para penunjuk perasaan turut menyekat beberapa laluan di lapangan terbang tersebut dengan troli bagasi serta objek lain.

Pertempuran tercetus susulan penutupan lapangan terbang berkenaan pada Isnin yang menyaksikan ribuan penunjuk perasaan berpakaian hitam melaungkan protes sambil membawa sepanduk. - Gambar REUTERS
Pihak berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong berkata operasi di lapangan terbang telah "mengalami gangguan serius" dan penumpang yang berlepas tidak dapat menghampiri kaunter imigresen.

BACA: Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kembali beroperasi

Pertempuran tercetus susulan penutupan lapangan terbang berkenaan pada Isnin yang menyaksikan ribuan penunjuk perasaan berpakaian hitam melaungkan protes sambil membawa sepanduk.

Perjalanan sistem kereta api dan penerbangan antarabangsa di Hong Kong dilaporkan terjejas susulan tindakan penunjuk perasaan prodemokrasi mengadakan protes besar-besaran bagi meningkatkan tekanan terhadap pemimpin hab kewangan berkenaan.

Aktivis menyasarkan beberapa sistem kereta api bawah tanah ketika waktu puncak dan dengan sengaja membiarkan pintu tren terbuka bagi menghalangnya daripada bergerak.

Keadaan itu menyebabkan barisan panjang dan pertengkaran antara pengguna tren yang mahu ke tempat kerja dan kumpulan penunjuk perasaan.

Hong Kong yang ditadbir secara separa autonomi telah berdepan protes dan pertembungan anjuran pembangkang sejak dua bulan lalu bagi membantah satu rang undang-undang ekstradisi sebelum ia bertukar menjadi pergerakan memperjuangkan reformasi demokrasi.

Pihak berkuasa Hong Kong dan Beijing bagaimanapun kini semakin kuat mempertahankan pendirian mereka.

Selain itu, pasaran saham Hong Kong turut mengalami kejatuhan ke paras terendah dalam tujuh bulan.




Tag: Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, Lapangan Terbang Hong Kong, penunjuk perasaan, protes Hong Kong, Beijing, China


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.