Perancis tidak akan menyertai rundingan baharu bagi menyelesaikan krisis Syria tajaan Rusia, yang diadakan di Sochi pada Isnin, lapor agensi berita Xinhua.

Sebaliknya, Perancis menegaskan rundingan diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva "satu-satunya rangka kerja yang sah untuk penyelesaian krisis Syria".

"Semua inisiatif lain, seperti perbincangan di Sochi mesti menyokong proses PBB dan berada di dalam rangka kerja itu," kata wakil jurucakap kementerian luar, Alexandre Giorgini dalam satu taklimat harian.

"Kami maklum dengan keputusan pihak yang tidak bersetuju dengan rundingan berkenaan dan disebabkan itu Perancis tidak akan turut serta dalam perbincangan tersebut," tambahnya.

Rusia penyokong utama kerajaan Syria menganjurkan Kongres Dialog Kebangsaan Syria, meskipun diboikot kumpulan pembangkang utama iaitu Suruhanjaya Rundingan Syria.

Moscow turut mempelawa anggota tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu Britain, China, Perancis dan Amerika Syarikat untuk menghadiri mesyuarat itu, selepas perbincangan Geneva bulan lepas gagal menyelesaikan krisis yang telah berlarutan selama tujuh tahun.

-- BERNAMA