PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau membuka pintu kepada pelarian yang dilarang masuk oleh Amerika Syarikat.

Menerusi satu kenyataan Twitter, Justin berkata Kanada mengalu-alukan kedatangan pelarian yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama.

“Kepelbagaian adalah kekuatan kita,” tulis beliau sambil memuat naik sekeping gambar dirinya bersama seorang pelarian kanak-kanak Syria.


Pada Jumaat lalu, Trump mengenakan empat bulan sekatan terhadap pelarian yang datang ke Amerika Syarikat.

Trump turut melarang kemasukan pelancong/pendatang dari tujuh negara Islam selama 90 hari, mengatakan langkah itu bertujuan membantu melindungi rakyat Amerika daripada serangan pengganas.

Negara Islam tersebut ialah Syria, Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.

Walaupun bersifat sementara, namun arahan itu berkuatkuasa serta merta mengakibatkan situasi kelam kabut dan kekeliruan bagi pemilik pasport tujuh negara berkenaan.

Tindakan itu turut mengundang kritikan pelbagai pihak.

Langkah itu bagaimanapun dipertikaikan pakar perundangan yang melihat ia bertentangan dengan perlembagaan Amerika.