Korea Selatan pada Rabu mengeluarkan kenyataan bahawa abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, iaitu Kim Jong Nam, sememangnya menjadi mangsa bunuh di Malaysia.

Pada masa ini, pihak berkuasa Malaysia telah memindahkan mayatnya ke sebuah hospital lain untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, ujar satu sumber kepada Reuters.

Sumber pentadbiran Amerika Syarikat (AS) juga memberitahu Reuters bahawa mereka percaya Kim Jong Nam telah dibunuh menggunakan racun oleh ejen Korea Utara, yang kini masih bebas.

Laporan media antarabangsa antara lain menyebut bahawa ejen rahsia berkenaan menggunakan semburan kimia dan juga jarum beracun untuk melaksanakan 'tugas' berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut pihak polis Malaysia, Kim Jong Nam meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan dari KLIA ke hospital.

BACA: Abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dibunuh di Malaysia - Laporan

Kim Jong Nam sememangnya diketahui sering mengecam pemerintahan dan kawalan dinasti keluarganya, dan selama ini menghabiskan banyak masanya di luar negara berikutan hidup dalam buangan.

“Jika pembunuhan Kim Jong Nam disahkan dilakukan oleh rejim Korea Utara, secara jelas ia menunjukkan kekejaman dan krisis kemanusiaan rejim Kim Jong Un,” ujar Perdana Menteri Korea Selatan Hwang Kyo-ahn, yang kini memangku jawatan presiden.

Kenyataan beliau itu diputuskan selepas mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional pada 8.50 pagi waktu tempatan (11.50 malam waktu Malaysia).

Korea Selatan sangat sensitif pada sebarang petanda ketidakstabilan di Korea Utara, dan secara teknikal masih dalam krisis perang dengan Korea Utara yang bangga dengan senjata nuklearnya.