PENGUNDIAN bagi Pilihan Raya Umum Singapura 2020 ditutup secara rasmi pada jam 10 Jumaat malam.

Proses pengundian yang sepatutnya berakhir pada jam 8 malam dilanjutkan dua jam bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka, menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD).

Setakat 8 malam, 96 peratus pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab dalam pilihan raya ke-13 negara itu.

Ia membabitkan lebih 2.5 juta rakyatnya keluar mengundi berbanding 2.3 juta pada pilihan raya umum yang ke-12 pada 2015.

Pilihan raya kali ini diadakan dalam keadaan republik itu berdepan pandemik COVID-19 yang ketika ini menjangkiti lebih daripada 12 juta penduduk dunia.

BACA: PRU Singapura: Tempoh mengundi dilanjutkan ke 10 malam

Calon Bebas tunggal dan 11 parti politik termasuk Parti Tindakan Rakyat (PAP), bertanding di 17 Kawasan Perwakilan Kumpulan (GRC) dan 14 Kawasan Pilihan Raya Perwakilan Tunggal (SMC) untuk mewakili 93 kerusi Parlimen.

Sepuluh parti lain turut bertanding ialah Parti Pekerja (WP), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Demokratik Singapura, Parti Suara Rakyat, Parti Perpaduan Nasional, Parti Reformasi, Parti Rakyat Singapura, Parti Kuasa Rakyat, Parti Red Dot United dan Perikatan Demokratik Singapura.