SEORANG wanita maut selepas rambutnya tersangkut di bahagian roda go-kart sehingga merobek kulit kepalanya di sebuah taman hiburan Aqua Village, di India, pada Rabu.

Puneet Kaur yang berusia 28 tahun, pada ketika kejadian sedang melawat taman tersebut bersama suami, dua anak lelakinya dan ahli keluarga lain.

Memetik sumber agensi, polis memaklumkan keluarga itu sedang bercuti dan melawat Timber Trail di Parwanoo sebelum tiba di Kharar pada malam selasa.

"Dalam perjalanan pulang, keluarga itu telah memutuskan untuk membuat lawatan di taman hiburan tersebut.

"Difahamkan keluarga itu menempah empat buah go-kart untuk enam ahli keluarga; termasuk Puneet yang menaiki go-kart bersama suaminya, manakala anaknya bersama neneknya.

"Selepas pusingan pertama trek, rambutnya terperangkap," kata jurucakap polis.

Susulan kejadian mangsa yang dalam keadaan kritikal telah dibawa ke hospital berdekatan sebelum disahkan meninggal dunia.

Polis menerima panggilan kira-kira 5.30 petang oleh Hospital Panchkula.

"Ahli keluarga mangsa masih belum memberi sebarang kenyataan, dan kami akan melakukan siasatan.

"Bedah siasat akan dijalankan pada Khamis ini," kata polis.