Puluhan ribu pengunjung membanjiri Taman Awam Ueno di bandar raya ini untuk menyaksikan keajaiban pemandangan pokok cherry blossom atau sakura yang sudah masuk fasa mekar penuh.

Bunga yang menjadi tarikan ikonik itu dilaporkan mekar penuh sembilan hari lebih awal daripada yang dijangkakan, dan semuanya terjadi kerana dibantu faktor kedatangan suhu yang panas.

Reuters melaporkan, dianggarkan sejumlah 85,000 orang mengunjungi taman tersebut, yang menjadi salah satu lokasi utama untuk menyaksikan keindahan bunga-bungaan merah jambu dan putih tersebut.

Keindahan seperti ini pastinya menarik untuk diabadikan dalam gambar. - Reuters

Pada Khamis, kelopak bunga berguguran ke tanah akibat dipukul angin kuat.

“Walaupun sedih melihat bunga ini gugur, menyaksikan kelopak-kelopak yang berterbangan dibawa angin juga suatu pandangan yang sangatmempesonakan.

“Saya datang ke sini untuk pastikan saya tidak terlepas menikmati pemandangan ini,” ujar seorang penduduk tempatan, Kaori Izumi, 42 tahun.

Secara rasmi, musim mekar di Tokyo pada tahun ini bermula pada 17 Mac, sembilan hari sebelum tarikh mekar penuh yang dijangkakan.

Bagaikan berada di alam fantasi. - Reuters

Di Jepun, bunga sakura yang mekar menandakan hari pertama persekolahan, sekali gus bermulanya tahun fiskal pada 1 April. Bunga yang berwarna merah jambu muda itu adalah simbol 'permulaan baharu yang segar'.

Tahun lalu, lebih daripada 3.5 juta orang melawat taman tersebut untuk menyaksikan bunga ikonik itu selama tiga minggu Festival Sakura berlangsung. Jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding bilangan pengunjung dalam tempoh yang sama pada 1998.

Tarikh mekar penuh bagi bunga ikonik ini hadir sembilan hari lebih awal pada tahun ini di Jepun. - Reuters