Isteri kepada penyelam gua Chiang Rai yang terkorban sewaktu operasi menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam gua berkongsi perasaan bangga terhadap pengorbanan suaminya.

Waleepon Gunan berkata suaminya Saman Gunan sentiasa mengingatkannya untuk menghargai orang tersayang di sekeliling kerana tidak akan tahu bila mereka mungkin meninggalkan dunia ini.

BACA: Gua Tham Luang: Ini cabaran yang harus dilalui pasukan penyelam

Dalam sebuah temu ramah bersama saluran televisyen British, BBC, Waleepon berkata beliau amat terkesan dengan kematian suaminya, namun terpaksa menunjukkan kekuatan di hadapan orang ramai kerana mahu legasi suaminya terus hidup.

"Saya menahan kesedihan kerana mahu mereka tahu saya begitu bangga dengan pengorbanannya. Beliau diangkat sebagai seorang wira kerana usahanya menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap itu.

"Sebelum ini juga suami saya amat aktif dengan kerja-kerja amal dan saya mahu beliau diingati untuk khidmatnya kepada masyarakat. Dengan rasa bangga ini saya menahan kesedihan," katanya.



Saman merupakan bekas tentera laut SEAL yang sering mengambil bahagian dalam aktiviti sukan dan kemasyarakatan.

Beliau terkorban sewaktu memindahkan tangki berisi oksigen dari muka gua ke lokasi kanak-kanak itu terperangkap apabila bekalan oksigennya berkurangan menyebabkan beliau pengsan dalam perjalanan.

Saman dikebumikan dengan acara terhormat yang dibiayai oleh institusi diraja Thailand di sebuah wilayah di Bot Et.



Buat masa ini, operasi mengeluarkan kanak-kanak terperangkap sudah masuk hari ketiga selepas hampir seminggu pihak berkuasa mengepam air keluar dari gua tersebut bagi mengurangkan risiko lemas sewaktu usaha mengeluarkan kanak-kanak ini berjalan.

Setakat Isnin, lapan kanak-kanak telah berjaya dikeluarkan oleh penyelam-penyelam yang terdiri daripada sukarelawan dari seluruh dunia termasuk dari United Kingdom dan Australia.

BACA: Jika 'Tuhan Hujan' bantu kita, maka misi ini akan selesai dengan cepat

Usahawan terkenal Elon Musk turut menghantar jurutera dari dua syarikatnya, the Boring Company dan Space X, untuk membantu pihak berkuasa dalam operasi tersebut sejak minggu lalu.

Pada Isnin, Musk sendiri hadir ke Thailand bagi menghantar sebuah kapal selam mini yang diciptanya khas untuk membantu proses pengeluaran kanak-kanak itu.

BACA: 'Kapal selam mini dah sampai' - Elon Musk