Suspek yang membunuh, mengerat dan membakar mayat isterinya dalam satu kejadian tragis di Karawang, Jawa Barat, Indonesia, gara-gara pasangannya itu sering mendesak dibelikan sebuah kereta, hari ini membuat pengakuan emosional kepada pihak berkuasa.

Muhamad Kholili, 23, mengaku membayangkan wajah anak mereka yang berusia dua tahun ketika dia membunuh wanita yang pernah dicintainya itu – Siti Saadah, 21.

“Sewaktu saya mengerat tubuh Siti, saya hanya teringat anak. Saya menangis terbayangkan anak,” kata Kholil kepada Pesuruhjaya Polis Karawang, Rano Hadianto, seperti yang dilaporkan portal berita tempatan.

Menurut Kholili, anak yang terhasil sejak pernikahan mereka pada tahun 2015 tersebut, kini dalam jagaan orang tuanya di Bogor.

BACA: Bosan didesak beli kereta, suami kerat dan bakar isteri

Dalam kejadian pada Isnin minggu lalu itu, Kholili berkata, pertengkaran mulut dengan isterinya berlanjutan hingga melibatkan aksi kekerasan.

Dia mendakwa lehernya dicekik Siti terlebih dahulu dan dia membalas dengan memukul leher siti sebanyak dua kali.

Akibat pukulannya itu, Siti jatuh tidak sedarkan diri.

Terkejut dan panik dengan situasi itu, Kholil sempat memeriksa nafas dan denyut jantung Siti, namun ternyata sudah terhenti.

“Saya bingung, lalu saya tutup mulutnya menggunakan pita pelekat,” akuinya.

Sehari kemudian, Kholil membuat keputuan untuk mengerat tubuh isterinya kepada tiga bahagian – kepala, badan dan kaki – menggunakan golok.

Seterusnya dia membuang kepala dan kaki Siti ke daerah Tegalwaru, sementara badan Siti dibuang ke Desa Ciranggon.

Bimbang keratan mayat isterinya itu ditemui orang awam, Kholili datang kembali keesokan hari untuk membakarnya.