Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

'Saya sendiri akan kebumikan anda' - Duterte ugut tembak mati pihak yang ingkar larangan

'Saya sendiri akan kebumikan anda' - Duterte ugut tembak mati pihak yang ingkar larangan
Tegas Duterte, rakyat perlu memberi kerjasama dengan mematuhi arahan duduk di rumah sebagai langkah untuk mengekang penularan wabak itu. - Gambar REUTERS
MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberi amaran keras bahawa rakyat negara itu akan ditembak mati sekiranya mengingkari perintah berkurung susulan penularan wabak COVID-19.

Berucap secara langsung di televisyen pada Rabu, Duterte juga berkata, tiada sebarang tolak ansur akan diberikan buat pihak yang melakukan serangan terhadap petugas perubatan yang dianggap sebagai satu jenayah serius ketika ini.
Tegas Duterte, rakyat perlu memberi kerjasama dengan mematuhi arahan duduk di rumah sebagai langkah untuk mengekang penularan wabak itu.

Pada masa sama, ia bagi memberi ruang kepada sistem kesihatan negara itu yang dilihat berhadapan cabaran besar untuk menampung jumlah pesakit yang tinggi, lapor Reuters. 
“Ia semakin teruk. Jadi saya tekankan lagi sekali betapa serius masalah dihadapi negara ketika ini dan anda semua perlu mendengar.

“Arahan saya kepada polis dan tentera, sekiranya ada masalah dan situasi yang tidak mengikut arahan, tembak mereka sampai mati.

“Adakah ia boleh difahami? Mati. Selain mencetuskan masalah, saya akan 'kebumikan' kamu,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas media tempatan melaporkan berlaku kekecohan dan penahanan dalam kalangan penduduk kawasan miskin di negara itu yang mempersoalkan bantuan bekalan makanan oleh kerajaan.

Dalam pada itu terdapat juga insiden diskriminasi terhadap pasukan perubatan di hospital yang didakwa diserang secara fizikal.

Ketua Polis Negara Filipina pada Khamis, bagaimanapun, menafikan akan bertindak untuk menembak mereka yang ingkar dan beliau memahami 'ugutan keras' kerajaan itu hanya untuk menunjukkan betapa seriusnya masalah dihadapi ketika ini.

Setakat 2 April, Filipina mencatatkan 2,311 kes jangkitan dengan 96 kematian selepas negara itu melaksanakan perintah berkurung pada 14 Mac.

BACA: COVID-19: Manila laksanakan perintah berkurung bermula Ahad

BACA: Letak keranda ingatkan rakyat bahaya COVID-19


Tag: Rodrigo Duterte, Manila, COVID19, perintah berkurung, lockdown, tembak mati, pandemik, koronavirus



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.