Dua pengasas AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun pada Selasa menafikan bekas pasukan Formula 1 Caterham F1, yang sudah menghentikan operasi pada 2014, mempunyai sebarang kaitan dengan skandal rasuah pengeluar kapal terbang Airbus SE.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua individu berkenaan berkata, Caterham F1, yang dibeli pada 2011 itu, tidak pernah bertujuan untuk membuat keuntungan, tetapi hanya untuk penjenamaan bagi syarikat penerbangan tambang rendah terbaik Asia itu.

“Caterham F1, syarikat yang didakwa mendapat tajaan tidak sah oleh Airbus, pada masa yang disebut merupakan sebuah pasukan lumba kereta Formula 1 yang telah menjelajah ke seluruh dunia bagi mempromosi, antara lain, jenama AirAsia, AirAsia X, GE, dan Airbus.

“Sewaktu tempoh kami sebagai pemegang saham dalam Caterham, syarikat itu tidak membuat sebarang keuntungan dan akhirnya telah dilepaskan hak ke atasnya dengan harga 1 pound sterling pada 2014. Sejak dari awal hingga akhir, ini hanyalah sebuah proses penjenamaan, bukannya langkah untuk membuat keuntungan,” kata mereka lagi.

BACA: Tony Fernandes, Kamarudin Meranun lepas jawatan selama 2 bulan, Bo Lingam pemangku CEO AirAsia

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Fernandes dan Kamaruddin, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi dengan serta-merta melepaskan jawatan masing-masing untuk dua bulan atau tempoh yang dirasakan sesuai oleh Lembaga Pengarah.

Ia adalah bagi memberi laluan kepada siasatan bebas ke atas AirAsia susulan dakwaan terlibat dengan skandal mega Airbus SE yang dikatakan memberi rasuah kepada syarikat penerbangan untuk membeli kapal terbang buatan mereka.

BACA: Kami tidak pernah dihubungi oleh SFO berhubung skandal Airbus - Kamarudin dan Fernandes

BACA: Saham AirAsia terus merosot berikutan siasatan rasuah, koronavirus

Dalam penghakiman yang diterbitkan pihak Kehakiman United Kingdom pada 31 Januari lepas, pegawai atasan Airbus SE dikatakan telah memberi rasuah berbentuk tajaan sebanyak AS$50 juta untuk sebuah pasukan, kepada pengarah atau pekerja Airasia dan Airasia X.

“Pasukan itu dimiliki bersama Eksekutif 1 dan Eksekutif 2 dari AirAsia, tetapi tidak berkait secara sah dengan Airasia dan Airasia X. Proses pembayaran tambahan yang tidak sah (AS$55 juta) yang sepatutnya berlaku pada Oktober 2014, ekoran pembekuan ke atas akaun BP (rakan kongsi),” menurut alasan kehakiman itu lagi.