Berita  | Dunia

Stephen Hawking: Fakta garis masa jasa 'sang genius' dunia fizik

Stephen Hawking: Fakta garis masa jasa 'sang genius' dunia fizik
Beliau telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam dunia fizik sehinggakan beliau dianggap sebagai salah satu pemikir terbesar dalam dunia fizik selepas Albert Einstein. - REUTERS
PEMERGIAN seorang genius astrofizik dari British hari ini merupakan satu kehilangan besar buat dunia.

Stephen Hawking menghembuskan nafasnya terakhir ketika beliau berumur 76 tahun.

Beliau telah mencurahkan sumbangan yang besar dalam dunia sains khususnya fizik, sungguhpun beliau lumpuh hampir seluruh badannya dan hanya menggunakan bantuan kerusi roda.

Beliau terkenal dengan sumbangan dalam bidang kosmologi, relativiti umum dan graviti kuantum, terutamanya dalam konteks lubang hitam atau 'black hole'.


Beliau juga turut memberi sumbangan dengan menerbitkan beberapa karya sains popular di mana beliau membincangkan teori dan kosmologinya sendiri secara umum.

GALERI FOTO: Memori hidup Stephen Hawking
Dilahirkan pada 8 Januari 1942 di Oxford, England, sewaktu tercetusnya Perang Dunia Kedua, beliau memenangi biasiswa ke Oxford University College tahun 1959 dalam jurusan fizik dan melanjutkan pengajian ijazah sarjana kosmologi di Cambridge pada tahun 1962.

Sewaktu beliau berumur 21 tahun, beliau mula menunjukkan tanda-tanda gejala pertama amyotrophic lateral sclerosis (ALS) atau dikenali sebagai simndrom Lou Gehrig, sejenis penyakit neuron motor yang akhirnya akan menyebabkan semua kawalan neuromuskular hampir lumpuh.

Sumbangan beliau amat besar sehinggakan beliau dianggap sebagai salah seorang pemikir terbesar dalam dunia fizik selepas Albert Einstein.

Tidak cukup dengan itu, perjalanan hidup sewaktu zaman mudanya turut diabadikan dalam filem Theory of Everything yang ditayangkan pada tahun 2014.

Berikut adalah fakta ringkas mengenai garis masa beberapa penemuan dan kerja utama beliau:

1966 - Beliau mendapat anugerah fellowship di Gonville dan Caius College, Cambridge. Beliau bekerja mengenai singulariti dalam teori relativiti umum dan menggunakan ideanya dalam membuat kajian mengenai lubang hitam.

1968 - Beliau telah menerbitkan penulisan berjudul Large Scale Structure of Space-Time yang membincangkan ruang masa dari aspek teoretikal fizik.

1970 - Beliau mendapati satu penemuan mengenai lubang hitam bahawa ia mampu memancarkan radiasi dengan menggunakan teori kuantum dan relativiti umum. Hawking dan Roger Penrose bersepakat menggunakan idea kesingularan mengenai ruang masa dan menjelaskan bagaimana teori relativiti umum daripada Einstein menjangkakan alam semesta bermula daripada fenomena Big Bang.

1973 - Beliau memasuki jabatan matematik dan teori fizik di Cambridge dan pada tahun yang sama juga, beliau mendapati lubang hitam boleh melepaskan tenaga dan partikel ke ruang angkasa sehinggakan ia mampu meletup. Penemuan beliau itu diterbitkan dalam jurnal Nature setahun kemudiannya dan penemuan itu dikenali sebagai radiasi Hawking.

1976 - Beliau berpendapat bahawa sebaik sahaja lubang hitam terbentuk, ia akan mengeluarkan pancaran tenaga dan mula kehilangan jisim. Radiasi tersebut tidak mempunyai jirim dalam lubang hitam itu. Segala yang berada di dalam lubang hitam itu turut lenyap sama sekali jika lubang hitam itu akan lenyap.

1983 - Beliau menggunakan kuantum graviti Euclidean untuk mengkaji lubang hitam dan mencadangkan teori fungsi gelombang alam semesta untuk mengukur sifat-sifat alam semesta yang wujud di sekeliling kita, sewaktu beliau bekerjasama dengan Jim Hartle, seorang profesor fizik dari Universiti Chicago.

1988 - Menerbitkan penulisan beliau berjudul A Brief History of Time: From the Big Bang to Black Holes dan laris sehingga ke peringkat dunia.

2001 - Menerbit buku Universe in a Nutshell di United Kingdom yang menjelaskan tentang penemuan terbaharu dalam dunia fizik.

2002 - Menerbitkan buku The Theory of Everything: The Origin and Fate of the Universe yang membincangkan penemuan terdahulu hingga kini mengenai teori kompleks fizik.

BACA: Saintis terkemuka Stephen Hawking meninggal dunia

BACA: Hidap ALS, Stephen Hawking sebenarnya dijangka mati 55 tahun lalu

BACA: Suka-duka Stephen Hawking disingkap dalam The Theory of Everything