SEORANG lelaki berhadapan masalah apabila imej dia merokok di halaman rumahnya, dirakam oleh Google Street View.

Donald Ryding, 58, dari Merseyside, United Kingdom, sebelum itu telah memberitahu isterinya bahawa dia telah membuang tabiat merokoknya selepas mendapat serangan jantung.

Isterinya, Julie, bagaimanapun tidak mempercayai kata-kata suaminya terutama apabila menemui kotak rokok kosong di dalam kereta.

Apabila Julie mendapat tahu Google Street View ada membuat rakaman di sekitar kawasan rumahnya, dia sedar itulah caranya untuk dia 'mengintip' suaminya.



Selepas satu pertengkaran, Donald keluar dari rumah dan Julie segera mengakses laman web berkenaan.

Dan Julie tidak silap apabila menemui imej suaminya merokok di kawasan garaj rumah mereka.

Biarpun agak marah, namun Julie mengakui perkara tersebut agak melucukan.

"Dia terpaksa tidur di ruang tamu malam itu, tetapi kini semua sudah okey. Sekarang dia masih merokok tetapi dalam kuantiti yang berkurangan," kata Julie.