Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata usaha Arab Saudi untuk ‘menutup cerita’ tentang pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi sangat teruk, lapor Reuters.

AS juga berikrar untuk menarik balik visa individu-individu yang dipercayai bertanggungjawab atas perkara itu.

Trump menyatakan demikian selepas Presiden Turki Tayyip Erdogan menolak kesimpulan Arab Saudi yang menyatakan kematian Khashoggi berpunca daripada operasi yang terjadi di luar prosedur sepatutnya.

Erdogan mendesak Riyadh untuk menyiasat perkara itu sedalam-dalamnya hingga terdedah punca sebenar dan pembunuh Khashoggi di Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Insiden itu telah mencetus kemarahan global dan turut menegangkan hubungan antara Riyadh dan Washington.

Bagi sekutu Arab Saudi, persoalannya adalah sama ada mereka percaya bahawa Putera Mahkota Arab Saudi Mohammad Salman, yang membawa imej sebagai pejuang reformasi, akan bertanggungjawab.

Sementara itu Trump terus melabelkan usaha Arab Saudi ‘menutup cerita’ itu sebagai tindakan yang ‘kelam-kabut’ dan teruk.

"Teruk caranya, patutnya tidak dibuat. Ada seseorang yang berbuat salah. Dan mereka cuba menutup cerita dengan teruk sekali.

“Sepatutnya tiada tindakan sebegitu,” ujar Trump. Ambil menambah dia telahpun bertemu Mohammad Salman yang menafikan kaitannya dalam pembunuhan tersebut.

BACA: Imej terakhir Jamal Khashoggi disiar

BACA: Tragedi Khashoggi sepatutnya diakui Arab Saudi sejak awal