INTERNATIONAL
Ubat malaria disyorkan Trump sekali lagi gagal ujian rawatan COVID-19

Ubat malaria yang sering diuar-uarkan oleh Presiden Trump sebagai rawatan COVID-19 gagal menunjukkan penambahbaikan dalam kalangan pesakit. Foto - REUTERS.
UBAT malaria yang sering diuar-uarkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebagai rawatan COVID-19, sekali lagi gagal menunjukkan manfaat kepada pesakit positif virus itu, menurut satu kajian baharu pada Khamis.
Walaupun wujud kekangan dalam kajian yang diterbitkan New England Journal of Medicine itu, namun para doktor dan pengkaji melaporkan penggunaan hydroxychloroquine tidak akan mengurangkan risiko kematian atau keperluan bantuan pernafasan dalam kalangan pesakit COVID-19.
“Kami tidak lihat sebarang kaitan antara ubat ini dan kurangnya risiko kematian atau masalah pernafasan,” kata ketua pengkaji Dr Neil Schluger kepada Reuters.
“Pesakit yang menggunakan ubat itu juga tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan.”
Dalam kalangan pesakit yang menggunakan hydroxychloroquine, 32.3 peratus akhirnya masih memerlukan ventilator ataupun telah meninggal dunia, berbanding 14.9 peratus yang tidak menggunakannya.
Namun, dalam kajian itu, doktor didapati lebih cenderung memberikan hydroxychloroquine kepada pesakit yang mengalami simptom lebih teruk.
Ini menyebabkan pengkaji di Hospital Presbyterian New York dan Pusat Perubatan Irving di Universiti Columbia menyesuaikan kadar peratusan berdasarkan kekangan itu.
Mereka rumuskan bahawa ubat itu mungkin tidak mendatangkan risiko kepada pesakit, namun ia juga tidak membantu merawat COVID-19.
Kajian itu membabitkan 811 pesakit yang menerima rawatan hydroxychloroquine manakala 565 yang lain tidak menggunakan ubat itu.
Hydroxychloroquine yang telah wujud sejak berdekad lalu juga digunakan untuk rawatan lupus dan arhthritis rheumatoid.
Pada April, doktor di Jabatan Hal Ehwal Veteran Amerika Syarikat melaporkan bahawa ubat itu tidak membantu pesakit COVID-19 dan mungkin meningkatkan risiko kematian.
Sehingga kini, tiada rawatan khusus COVID-19 yang disahkan, namun syarikat Gilead Sciences Inc pada minggu lepas mendapat kelulusan kecemasan daripada pihak berkuasa untuk menggunakan ubat remdesivir keluaran syarikat itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami