WARGA Uighur di luar China kini gelisah nasib kaum kerabat mereka, sedang jumlah kematian dan bilangan kes penularan belum menunjuk kemungkinan wabak selsema jangkitan COVID-19 akan reda.

Sudahlah China sendiri tidak mengakui tindakannya tidak ubah penindasan etnik seperti yang didakwa pelbagai pihak, berita yang keluar dari Xinjiang diragui kesahihannya kerana datang dari sebelah pihak sahaja.

Lebih daripada itu, China berkeras mendakwa kaum etnik Uighur yang ditempatkan di belakang tembok tinggi sedang menjalani latihan kemahiran dan bukan dipaksa menjalani indoktrinasi.

Ini bertentangan dengan laporan media antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan. Mereka mengetengahkan bukti melalui laporan dan imej satelit kawasan yang dijadikan kem penempatan.

Kewujudan deretan bangunan di dalam kawasan berpagar tinggi lengkap dengan menara kawalan memberi gambaran keadaan yang tidak ubah seperti penjara.

Pada Khamis, China mengumumkan angka maut penularan COVID-19 naik mendadak apabila data merekodkan catatan paling tinggi jumlah kematian dalam satu hari.

Sebanyak 242 kematian akibat penularan COVID-19 dicatat pada Rabu, satu angka kematian dua kali ganda untuk satu hari menjadikannya yang paling tinggi setakat ini.

Angka ini membawa jumlah kematian seluruh China berjumlah 1,355 orang. Terus membimbangkan, jumlah jangkitan bertambah kepada 14,840 dalam masa 24-jam membawa ke Rabu.

Diaspora Uighur bimbang kerana hanya mampu membuat spekulasi keadaan sebenar di Xinjiang.

Penyebaran berita dikawal ketat dan kesahihan bergantung kepada ketelusan dan ihsan pihak pentadbir yang diragui.

Mengikut data yang dedah oleh media rasmi China, setakat ini wilayah Xinjiang mencatatkan hanya 55 kes COVID-19 dan pesakit pertama sudah pulih.

Dianggarkan, sehingga satu juta etnik Uighur dan minoriti Islam yang lain kini ditempatkan dalam kem-kem tahanan Xinjiang.

Virus – yang kini dikenali umum sebagai COVID-19, tersebar sesama individu melalui titisan semburan akibat batuk atau bersin.

Dalam keadaan kem di mana tahanan tinggal bersesak sesak berkumpulan, sudah tentu penyebaran COVID-19 jadi mudah, lebih-lebih lagi jika tiada penyediaan sabun atau kemudahan cuci tangan yang meluas.

Laporan pihak ketiga mendakwa seramai 20 tahanan terpaksa berkongsi bilik berukuran 16 meter persegi. Setiap bilik disediakan satu tong plastik sebagai tandas. Masa dua minit diberi bagi setiap tahanan untuk menggunakannya. Dan lebih kejam, tong itu hanya dikosongkan sekali sehari.

Presiden Kongres Uighur Sedunia Dolkun Isa dipetik media menyuara kebimbangan tragedi yang akan berlaku jika nasib kaum etnik di Xinjiang terus terabai.

Beliau risau penularan wabak selsema melalui COVID-19 menambah lagi kesengsaraan kaum etnik Uighur yang hidup tertekan di bawah pemerintahan China.

Laporan sama memaparkan persoalan yang ditimbulkan pakar imunologi Perancis Norbert Gualde tentang nasib tahanan etnik Uighur.

Katanya, terdapat kegusaran tentang keadaan penahanan yang menimbulkan pelbagai persoalan. Ini termasuk kebebasan pergaulan yang dipaksa iaitu pergaulan bebas melibatkan hubungan kelamin (enforced promiscuity).

Kini, bukan sahaja usaha indoktrinasi, tekanan fizikal dan penindasan mental yang perlu dihadapi, sakit selsema mungkin menjadi igauan mimpi ngeri.

VIDEO: Consider This: China's Uighurs - International response

VIDEO: Consider This: China's Uighurs - Reaching the 'silent majority'

BACA: Qunut Nazilah untuk Islam Uighur dalam setiap solat fardu - Mufti Perak

BACA: Rakyat Indonesia berhimpun, tuntut kerajaan beri bantuan ketenteraan terhadap Islam Uighur