Kementerian Perdagangan dan Pelaburan Arab Saudi secara rasmi mengumumkan golongan wanita Arab Saudi dibenarkan bergiat dalam bidang perniagaan tanpa kebenaran mahram.

Negara yang terkenal dengan undang-undang ketat terhadap wanita itu bertindak demikian sebagai usaha ke arah menjadi masyarakat lebih terbuka selain tuntutan sektor swasta yang makin mendesak.

Perubahan dasar yang diumumkan kerajaan Arab Saudi pada Khamis lalu disifatkan sebagai satu langkah besar berbanding amalan sistem mahram yang ketat sejak berdekad lalu.

“Kaum wanita kini boleh jalani perniagaan dan mendapat faedah daripada perkhidmatan elektronik (e-perkhidmatan) tanpa perlu membuktikan kebenaran daripada penjaga,” kata kementerian berkenaan di laman web rasminya.

Sebelum ini, wanita Arab Saudi dikehendaki mengemukakan bukti kebenaran mahramnya dalam banyak urusan yang melibatkan dokumen kerajaan, perjalanan serta pendaftaran di bawah sistem penjagaan Arab Saudi.

Pertama kali dalam sejarah, kerajaan Arab Saudi telah membuka 140 jawatan bagi wanita di lapangan terbang dan zon lintasan sempadan, hingga menerima sehingga 107,000 permohonan.

Sebelum ini, sejarah tercatat di bumi Arab Saudi apabila larangan mengenai wanita yang tidak dibenarkan memandu dan juga menghadirkan diri di tempat umum seperti menonton perlawanan di stadium, dimansuhkan.

BACA: Wanita Arab Saudi kini boleh memandu trak, menunggang motosikal

BACA: Arab Saudi benarkan wanita tonton perlawanan bola sepak