Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjalankan siasatan terhadap kes kematian empat bayi di Hospital Colonial War Memorial, di sini, yang disyaki berpunca daripada jangkitan bakteria.

Menurut agensi berita Xinhua, empat kematian bayi dilaporkan berlaku di antara 24 Mei hingga 15 Jun di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan.

Pasukan penyiasat WHO dijangka tiba di Fiji pada Selasa berikutan berlakunya jangkitan wabak acinetobacter baumannii di hospital itu buat kali kedua.

Menurut jurucakap hospital, Dr James Fong, taklimat berhubung keadaan semasa akan diberikan kepada pegawai WHO hari ini.

Jelasnya, pasukan penyiasat WHO itu juga juga akan meneliti langkah kawalan jangkitan yang dilaksanakan di hospital berkenaan serta mengkaji kaedah mengurangkan risiko jangkitan yang boleh membahayakan pesakit.

Hospital itu pernah dilanda wabak sama pada hujung tahun lalu yang memaksa ia dikosongkan selama beberapa minggu.

Proses kuarantin kini dilaksanakan di Unit NICU yang kini turut dikosongkan sejak penularan wabak tersebut.

-- BERNAMA