Syarikat telekomunikasi akan tetap mengenakan caj enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kad tambah nilai prabayar berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, pelanggan akan ditawarkan tambahan kredit masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada kadar nilai melebihi cukai enam peratus.

Pengarah Bahagian CBP, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T.Subromaniam berkata keputusan itu dicapai menerusi perbincangan antara ketua eksekutif syarikat telekomunikasi, JKDM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini.

"Persetujuan sementara itu berkuat kuasa hari ini dan akan berterusan selama tempoh tiga bulan sebelum perbincangan lanjut dilakukan sama ada ia akan diteruskan atau dikaji semula," katanya pada sidang media di sini.

"Kita sebenarnya mempunyai dua pilihan, sama ada mengekalkan harga kad prabayar, contohnya RM10 (tanpa GST) atau mengenakan RM10.60 (cukai telah diserapkan dalam setiap kad sebelum pelaksanaan CBP dan masa berbual melebihi enam peratus GST.

"Jadi, berita baik ialah pengguna akan mendapat tambahan kredit masa berbual yang akan diaktifkan dalam sistem, dengan kadar nilai melebihi RM1. Inilah merupakan permintaan pihak kami kepada syarikat telekomunikasi," jelasnya.

KLIK UNTUK SEGALA BERITA MENGENAI GST

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad, yang turut menyertai perbincangan itu, berkata caj perkhidmatan yang dikenakan oleh hotel dan restoran tertakluk kepada GST.

Beliau berkata kerajaan tidak mengambil caj perkhidmatan yang dikenakan oleh dua premis itu.
"Ia wujud atas perjanjian kolektif antara pekerja dan majikan hotel dan restoran. Jadi, ini isu yang sebenarnya universal kerana caj perkhidmatan itu dipraktik sejak 1948 di seluruh dunia," katanya.

Bagaimanapun, pihak kementerian akan mengkaji sekiranya perlu mewujudkan garis panduan untuk peniaga atau majikan untuk mengenakan caj perkhidmatan, katanya.

GST: Syarikat telekomunikasi kaut untung dan tindas pengguna - Pemuda UMNO

GST: Isu kad tambah nilai dikenakan GST dibawa kepada Kastam