Penderitaan pelakon dan pelawak terkenal era 80-an, Acappan atau nama sebenarnya R. Samynathan, yang meninggal dunia kerana kegagalan buah pinggang pagi tadi, hanya diketahui keluarganya tiga bulan lepas.

Anak sulung mendiang, S. Vikneshwaran, 31, berkata mendiang bapanya jarang bercerita tentang penyakitnya kepada keluarga.

"Sewaktu bapa dirujuk ke Hospital Putrajaya sebulan lepas, penyakitnya sudah mencapai tahap tiga. Setelah empat hari masuk wad, doktor memberitahu status kesihatannya telah pun berada di tahap kritikal dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan doktor pakar," kata Vikneshwaran yang bekerja sebagai pengurus bank di Sydney, Australia ketika ditemui Bernama di sini.

BACA: Apa kenangan bersama Acappan, Sabri Yunus buka cerita...

Beliau menyifatkan kehilangan bapanya yang berusia 63 tahun itu sebagai satu tamparan hebat kepada keluarganya terutama ibunya, S. Yogeswari, 53, serta adik perempuan bongsunya, S. Yhuveneshwary, 24, kerana mereka tinggal bersama dan sangat rapat.

"Bapa sempat berpesan pada saya supaya menjaga ibu dan adik serta sentiasa menjaga kebajikan mereka," kata Vickneshwaran.


Acappan meninggalkan seorang isteri, tiga anak termasuk S. Dhineshwaran, 28 (anak lelaki kedua) yang bekerja sebagai jurutera di Sydney, Australia.

Ditanya kononnya mendiang Accapan pernah memeluk Islam, Vikneshwaran berkata bapanya tidak pernah memeluk agama Islam seperti yang pernah diviralkan di media sosial pada 2016.

"Pukul 8.30 pagi tadi, dua orang anggota polis dari Balai Polis Bukit Puchong datang untuk mengambil pengesahan kematian bapa dan pegawai berkenaan mengesahkan dengan JAKIM bahawa Accapan yang nama sebenar R.Samynathan tidak pernah memeluk agama Islam," katanya.

Sementara itu, pelakon Lan Zailan, 60, yang mengenali mendiang lebih 30 tahun lalu dan pernah berlakon bersama dalam sitkom 'Santan Berlada' berkata hubungannya dengan mendiang Accapan agak rapat sementelah Lan boleh berbahasa Tamil.


Lan menyifatkan mendiang seorang yang sangat baik dan suka menasihati rakan-rakannya.

Hampir 300 ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan termasuk artis memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Accapan di sini hari ini.

Mayat mendiang dibawa ke Simpang Lima Crematorium, Klang untuk disempurnakan lewat petang ini.

-- BERNAMA