Tutup

Banyak yang saya nak buat, tetapi... - kisah kartunis Ujang terbitkan majalah dengan nama sendiri

Banyak yang saya nak buat, tetapi... - kisah kartunis Ujang terbitkan majalah dengan nama sendiri
UJANG: Sebagai orang muda, pemikiran saya tak sama dengan orang lama, ada banyak yang saya rasa nak buat tetapi tak boleh nak buat. - Astro AWANI
DARI bergelar seorang anak kampung di Kuala Pilah, Ibrahim Anon menanam tekad untuk ke Kuala Lumpur demi mengejar cita-citanya bergelar kartunis.

Awal 80-an, anak muda yang kemudiannya lebih dikenali sebagai Ujang ini memulakan kerjayanya di syarikat Creative Enterprise, penerbit majalah Gila-Gila - majalah humor nombor satu di Malaysia ketika itu.

Waktu itu, selain Gila-Gila, terdapat juga majalah Batu Api dan Gelihati yang mewarnai dunia majalah humor atau komik di negara ini.
Selepas 10 tahun berkarya di majalah Gila-Gila, Ujang merasakan dirinya mempunyai banyak idea yang tidak dapat diketengahkan.

"Saya kiranya yang paling muda di Gila-Gila ketika itu. Biasalah, orang muda, pemikiran tak sama dengan yang dah lama. Jadi, ada banyak yang saya rasa nak buat tetapi tak boleh nak buat.
"Alasan mereka pun kukuh. Sebab, Gila-Gila punyai konsep humor yang educated (bijak). Sebab, pembacanya juga golongan cerdik pandai. Begitu juga penulis-penulisnya.

"Kita ada arwah Pak Sako, ada Malugun. Jadi, Gila-Gila sangat menjaga content-nya (kandungan)," kata Ujang kepada Astro AWANI.


Ujang kemudiannya cuba untuk menerbitkan majalah yang dinamakan 'Majalah Ujang' di bawah Creative Enteprise, yang juga menerbitkan majalah Fantasi, selain Gila-Gila.

"Saya jumpa Jaffar Taib dan tanya, boleh tak terbitkan satu majalah lain dengan konsep seperti yang saya mahukan.

"Jaffar tengok mock-up yang saya buat dan kata pada saya, kalau aku terbitkan majalah atas nama kau nanti kartunis lain pun nak majalah atas nama mereka juga.

"Betul juga kata Jaffar itu, nanti Cabai nak majalah dia sendiri, Roslim pun nak majalah nama dia," cerita Ujang, memetik nama beberapa kartunis Gila-Gila lain.

Akhirnya, dia bertemu dengan seorang ahli perniagaan yang sanggup mengeluarkan modal untuk menerbitkan majalah Ujang yang diidam-idamkannya itu.

Menurutnya, dalam usaha menerbitkan animasi Usop Sontorian, dia memberikan cadangan kepada pemilik Kharisma Group of Companies untuk menerbitkan majalah Ujang.