BARU-BARU ini tular di media sosial sebuah video seorang lelaki memecahkan cermin hadapan sebuah kereta dipandu seorang wanita hanya kerana tidak berpuas hati hon dibunyikan terhadapnya.

Video berdurasi 3 minit itu dirakam mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 22 memandu kereta Perodua Axia.

Dalam rakaman yang diambil tiga hari lalu itu, dua lelaki dirakam menunggang dua motosikal sambil berbual di depan kenderaan dipandu mangsa pada jam 5.50 petang, Selasa.

Mangsa kemudian memotong kedua-dua motosikal terbabit dan dipercayai membunyikan hon.

BACA: Suspek pecahkan cermin kereta kerana tidak puas hati kena hon, akhirnya ditangkap

Tidak berpuas hati dengan insiden itu, kedua-dua motosikal kemudian dilihat berhenti secara mengejut di depan kereta mangsa menyebabkan kenderaan jenis Perodua itu terpaksa dihentikan serta-merta.

Rakaman video turut menunjukkan kereta milik mangsa terlanggar sedikit bahagian belakang motosikal yang berhenti mengejut itu sebelum seorang penunggang motosikal meluru ke arahnya.

Lelaki terbabit kemudian menghentak cermin kenderaan mangsa dengan topi keledar dan terus ke arah cermin di bahagian sebelah pemandu.

Insiden tersebut berlaku di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

Baimanapun, lelaki berlagak samseng tersebut yang berusia 30an dan bekerja sebagai pembantu stor telah pun ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, pada pukul 3 petang semalam (Khamis).

Menurut Ketua Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, suspek ditahan di tempat kerjanya sebuah kilang di Balakong.

"Polis turut merampas sebuah motosikal dan sebuah helmet yang digunakan semasa kejadian, reman akan dipohon di bawah Seksyen 117 di Mahkamah Petaling Jaya," katanya dalam satu kenyataan.

Serentak dengan penahanan suspek, warga net mengucapkan tahniah di atas kecekapan pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) kerana cepat bertindak.

Mereka turut memberi ucapan ‘Selamat Hari Raya’ kepada suspek.

“Cantik gelang raya? Berayalah dibalik tirai besi, padan muka!” tulis warga net merujuk kepada foto suspek di balai polis yang tular petang semalam.