Permohonan maaf penyanyi rap tempatan Ariz Ramli atau Caprice terhadap rakyat Kelantan dianggap tidak ikhlas kerana menuduh pihak lain pula melakukan kesalahan dengan tidak memaparkan video sepenuhnya mengenai insiden yang mula viral pada Ahad.

Timbalan Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak), Datuk Aizuddin Ghazali menegaskan, Caprice turut didesak mendedahkan video sebenar dan menjawab apa sebenarnya tujuan beliau berbuat demikian jika mengakui berada di pihak yang benar.

Timbalan Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak), Datuk Aizuddin Ghazali

"Kami memantau secara dekat perkembangan dan tindakan Caprice memuat naik video pada laman Instagramnya yang menyebut orang Kelantan tiba-tiba pandai berbahasa Inggeris ketika sesi bersama pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik baru-baru ini.

"Selepas laporan polis dibuat, individu berkenaan dilihat meminta maaf, bagaimana pun kami melihat dia tidak ikhlas kerana telah menuduh pihak lain pula membuat salah dengan memaparkan video tidak penuh," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, Kumpulan Anak Kelantan Prihatin melahirkan rasa kesal dengan dakwaan Caprice yang mengatakan negeri itu mencatat angka terbanyak mempunyai masalah dadah, pembuangan bayi dan pedofil.

Jurucakapnya Norlida Daud berkata, kenyataan itu memaparkan ego Caprice selaku seorang artis tempatan yang sekali gus menyinggung rakyat negeri itu.

BACA: Caprice tampil mohon maaf kepada NGO, rakyat Kelantan atas posting sinis

BACA: Hina rakyat Kelantan, NGO buat laporan polis terhadap Caprice

Caprice yang memohon maaf di atas insiden itu bagaimanapun menyifatkan post yang dimuat naik oleh sebuah pemegang akaun di Instagram sebagai bersifat melaga-lagakan atau 'batu api' kerana mengambil video yang dimuat naiknya tanpa meletakkan sebarang penjelasan.

Dalam pada itu kata Aizuddin, penghinaan dan perbuatan menghasut kebencian pada orang Kelantan oleh penyanyi itu amatlah dikesali dan tidak boleh diterima.

"Kami khuatir dan gusar dengan perbuatan sebegini boleh menggugat ketenteraman masyarat dalam negara kita," jelasnya.