ANAK mana yang sanggup mendengar tohmahan terhadap ayahnya, apatah lagi jika dakwaan itu satu pembohongan.

Itulah yang dilalui anak kepada pemenang anugerah Oscar, Gary Oldman, yang dituduh melakukan penderaan oleh bekas isterinya.

Gulliver Oldman, 20 tahun, menulis sepucuk surat bagi mempertahankan ayahnya yang bertungkus lumus membesarkannya selama ini.

Bekas isteri ketiga pelakon berusia 59 tahun itu, Donya Fiorentino, ketika prosiding perceraian pada 2001 mendakwa Oldman memukulnya berulang kali dengan gagang telefon ketika dia cuba menghubungi polis.

Namun dakwaan itu ditepis Gulliver malah mahkamah telahpun memutuskan ayahnya tidak bersalah.

"Hak penjagaan jarang diberi kepada lelaki apatah lagi jika kepada si pemukul isteri," sindir Gulliver.

Sejak perpisahan itu dimuktamadkan mahkamah, Gulliver dan adiknya, Charlie, dibesarkan ayahnya dengan penuh kasih sayang.

"Satu kurniaan yang sangat hebat. Insan yang mengutamakan kebahagian keluarganya lebih daripada segalanya," jelasnya lagi.

Gulliver dalam surat itu turut mendedahkan dia sudah tidak bercakap dengan ibunya sejak tujuh tahun lalu.

Fiorentino membuat sindiran tajam terhadap Oldman selepas pelakon berkarisma itu memenangi Oscar menerusi lakonan cemerlangnya sebagai Winston Churcill menerusi filem "Darkest Hour".

Ia disusuli kenyataan balas daripada wakil Oldman, Doug Urbanski menerusi kenyataan bertulis kepada BBC yang mengatakan Oldman bebas sepenuhnya daripada dakwaan berkenaan pada 2001.