Polis mengawal ketat pintu masuk ke sinepleks yang terletak di Connaught Place, kawasan membeli-belah utama Delhi dengan meletakkan perintang logam di sana-sini.

Sekiranya anda mempunyai tubuh yang langsing seperti aktres Bollywood, mudah untuk anda melalui ruang sempit ke kaunter tiket untuk menonton filem "Padmaavat".

Jika tubuh badan anda besar seperti watak sesetengah samseng yang sering ditonjolkan dalam filem India, anda perlu berhati-hati supaya tidak melanggar perintang logam yang dipasang. Perintang itu juga diperkukuhkan dengan ikatan tali.

Polis di Delhi ternyata tidak mahu mengambil mudah ketika filem kontroversi berkenaan mula ditayangkan di India minggu lalu.

Perusuh dilaporkan melakukan keganasan di banyak tempat untuk menentang tayangan filem Padmaavat kerana berang dengan jalan cerita filem yang bagi mereka mencemar kehormatan ratu legenda Hindu yang tergolong dalam kasta kesateria Rajput.

Orang ramai menyatakan kemarahan mereka apabila sekumpulan perusuh membaling batu ke arah bas sekolah di Gurgaon di pinggir Delhi. Video yang menunjukkan kanak-kanak sekolah yang ketakutan sambil menangis menjadi tular mencetuskan kemarahan terhadap mereka yang membuat rusuhan itu.

Kumpulan berkasta tinggi di negeri utara India Rajasthan menuduh pengarah filem Sanjay Leela Bhansali memutarbalikkan "sejarah" dengan watak Ratu Padmavati, dilakonkan oleh aktres Deepika Padukone.

Mengikut legend, Padmavati membunuh diri mengikut adat yang dikenali sebagai "jauhar" (wanita yang melompat ke dalam unggun api untuk melindungi maruah mereka) daripada menyerah diri kepada Sultan Delhi yang beragama Islam, Alauddin Khilji. Sultan itu melakukan serangan pada 1303 untuk menakluk rantau Chittorgarh daripada pemerintah Rajput, Ratan Singh.

Tokoh sejarah berkata Padmavati hanyalah watak fiksyen yang berasal dari puisi epik "Padmavat" oleh pujangga Sufi Malik Muhammad Jayasi di abad ke-16. Bagaimanapun watak mitos itu adalah sejarah bagi mereka yang percaya kepada kisah Padmavati.

Ancaman serta keganasan sudah berlaku sebelum filem itu diluluskan untuk tayangan. Malah seorang ahli politik di negeri Haryana menawarkan 100 million rupee (AS$1.5 juta) kepada sesiapa yang berani memenggal kepala Padukone dan Bhansali. Terdapat juga ancaman untuk memotong hidung Padukone sebagai hukuman kerana berlakon dalam filem itu.

Kumpulan yang mendakwa mempertahankan maruah Rajput begitu menentang pembikinan filem ini sehinggakan Bhansali turut menjadi mangsa serangan. Akibatnya penggambaran filem yang dibuat di Jaipur, ibu negeri Rajasthan pada Januari 2017 terganggu.

Keadaan yang tegang juga membuatkan tajuk filem diubah kepada "Padmaavat" dan beberapa pengubahsuaian dibuat untuk meredakan ketegangan dan mengelakkan perusuh mengganggu tayangan filem itu.

Meskipun Lembaga Penapis Filem India meluluskan filem itu untuk tayangan, beberapa buah kerajaan negeri bertegas tidak akan membenarkan tayangan filem itu di negeri mereka.

Pengerusi Persijilan Filem Lembaga Pusat, Prasoon Joshi menarik diri daripada pesta kesusasteraan di Jaipur kerana ancaman yang dibuat ke atas nyawanya.

Bintang filem Bollywood mengecam insiden keganasan dan ancaman yang dibuat ke atas filem berkenaan.

"Ini terang-terangan satu keganasan," aktres Bhumi Pednekar dipetik sebagai berkata mengenai insiden serangan ke atas bas sekolah.

Yang ironiknya, beberapa orang pengulas berpandangan Bhansali memberi paparan yang negatif terhadap pemerintah Muslim berbanding watak Rajput sebagai usaha untuk memenuhi sentimen popular di India.

Watak pemerintah Rajput ditunjukkan begitu baik berbanding sikap bengis maharaja Muslim.

"Tidak dapat disangkal lagi paparan dua watak maharaja yang berbeza. Padmaavat adalah contoh filem Hindi yang menggunakan bahasa hebat untuk menyembunyikan prejudis , " kata pengkritik filem Anna M.M. Vetticad. -- Bernama