Keputusan Festival Filem Malaysia (FFM) tahun ini membahagikan pencalonan untuk kategori Filem Terbaik berdasarkan bahasa ialah bertujuan mempromosi bahasa kebangsaan, menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman.

Bercakap kepada Malay Mail Online, beliau berkata, kedua-dua yang dikategorikan di bawah Filem Terbaik - Bahasa Malaysia dan Bukan Bahasa Malaysia – adalah sama dari segi tarafnya.

Ini bermakna, katanya, tidak timbul isu filem Ola Bola dan Jagat – yang dikelaskan sebagai Bukan Bahasa Malaysia – adalah kurang bagus seperi dakwaan pengkritik terhadap FFM ke-28 itu.

“Dari segi prinsipnya, kita harus lihat kepada fakta bahawa FFM sememangnya sentiasa tentang filem, dalam bahasa rasmi dan bahasa tidak rasmi,” beliau memberitahu portal itu.

“Tetapi, secara amnya, kedua-dua pengkelasan filem terbaik itu dihakimi berdasarkan berapa baik sesebuah cerita itu.

“Filem-filem itu dibahagikan berdasarkan bahasa hanya kerana ia sememangnya tentang (mempromosi) bahasa rasmi kita,” Kamil dipetik berkata.

Penganjuran anugerah berprestij itu tahun ini mencetus kejutan apabila buat kali pertama pencalonan bagi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik dibahagikan kepada dua iaitu bagi 'Filem Dalam Bahasa Malaysia' dan 'Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia'.

Sewaktu pengumuman dibuat Rabu lalu, dua kategori baharu diumumkan bagi persaingan trofi iaitu 'Pengarah Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia Terbaik' dan 'Lakon Layar Filem Bukan Bahasa Malaysia Terbaik'.

Sewaktu penganjuran FFM27 lalu, kategori 'Filem Bukan Bahasa Malaysia Terbaik' telah mula diperkenalkan, dan menyaksikan filem The Journey membawa pulang anugerah tersebut.

Memetik Academy Awards di Amerika Syarikat sebagai contoh, Kamil berkata, salah satu kriteria utama untuk penyertaan di bawah kategori filem bahasa asing ialah penggunaan bahasa ibunda oleh pembikin filem yang mengambil bahagian.

“Jadi, ia tiada kaitan sama ada yang satu lebih baik dari yang satu lagi atau sebaliknya,” katanya merujuk kepada dakwaan yang filem Ola Bola dan Jagat hilang kelayakan untuk memenangi anugerah filem terbaik kerana kebanyakan skripnya menggunakan bahasa yang bercampur-campur.

Kamil menjelaskan, sudah menjadi dasar Finas supaya filem-filem tempatan untuk menekankan sekurang-kurangnya penggunaan 70% Bahasa Malaysia dalam skrip mereka.

Untuk FFM28, filem Ola Bola terbitan Astro Shaw Sdn Bhd yang bertemakan semangat kesukanan, arahan Chiu Keng Guan, dicalonkan dalam 14 daripada 27 kategori yang dipertandingkan.

Sementara Jagat, filem bahasa Tamil arahan Shanjhey Kumar Perumal, yang menceritakan mengenai keadaan sosio-ekonomi kaum India yang teruk di Malaysia, diletakkan di bawah kategori Bukan Bahasa Malaysia.

Isu mengenai penambahan dua kategori yang diasingkan mengikut bahasa menjadi persoalan dalam FFM28.

Berikutan itu, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki berhasrat memboikot FFM28 kerana berpendapat berlaku ketidakadilan dalam pengiktirafan karya seni dalam festival itu.

Tindakan beliau mendapat sokongan netizen.

BACA: [UNDIAN] FFM28: Perlukah pembikin filem diasingkan berdasarkan bahasa?

BACA: FFM: Apa saja filem yang lahir dari negara ini harus diterima sebagai filem Malaysia - Mahadi J Murat