50 tahun selepas kali pertama ditayangkan di layar perak, filem epik sains fiksyen Stanley Kubrick, ‘2001: A Space Odyssey’ akan kembali ke pawagam dalam format IMAX.

Ia sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun setengah abad filem yang dianggap antara terhebat sepanjang zaman itu di bawah kendalian Warner Bros.

Jeff Goldstein, presiden pengedaran domestik studio yang berpangkalan di Brubank, California itu berkata, ini menandakan untuk pertama kalinya penonton di panggung akan berpeluang menyaksikan filem hebat ini pada skrin paling besar, mencipta pengalaman yang pasti imersif.

Mei tempohari, filem terbitan tahun 1968 itu ditayangkan semula di pawagam dalam versi asal berformat 70mm, sebelum versi penambahbaikan ke format IMAX terhasil seluruhnya secara fotokimia di bawah pemerhatian pengkagum Kubrick yang juga pembikin filem tersohor, Christopher Nolan.

Ia akan ditayangkan selama seminggu bermula 24 Ogos dan tiket sudah mula dijual hari ini, bagaimanapun tayangannya hanya tertakluk kepada 350 pawagam di serata Amerika Utara sahaja.

Empat panggung IMAX di Universal City, San Francisco, New York City dan Toronto masing-masing akan menayangkan versi yang tidak diusik, yang menurut Warner Bros. dicipta semula daripada negatif kamera asal tanpa helah digital, kesan penambahbaikan atau sebarang pembetulan.

‘2001: A Space Odyssey’ mengikuti kisah dua orang angkasawan, Keir Dullea dan Gary Lockwood yang sedang dalam misi ke planet Jupiter bersama komputer dengan kecerdasan buatan (artificial intelligence) bernama HAL 9000 selepas penemuan misteri monolith hitam yang memberi kesan mendalam kepada evolusi manusia.

Sejak tayangan perdananya pada 3 April 1968, filem yang membangkitkan persoalan eksistensi manusia dan penerokaan angkasa lepas itu dianggap sebagai antara filem terhebat dan paling berpengaruh yang pernah dibuat.

Filem yang ditulis dan diarah Kubrick berdasarkan siri sains fiksyen karya Arthur C. Clarke itu merangkul pelbagai anugerah antaranya Oscar untuk kesan visual khas dan juga pengarah serta rekaan set terbaik.