Filem ‘Lelaki Harapan Dunia’ arahan sutradara Liew Seng Tat dipilih mewakili Malaysia untuk kategori Filem Bahasa Asing Terbaik Anugerah Akademi ke 88 (Oscar).

Pemilihan tersebut telah sebulat suara dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Oscar Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang ditubuhkan baru-baru ini dengan objektif menentukan filem tempatan yang terbaik untuk dikemukakan kepada Oscar.

Ketua Pengarah Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Kamil Othman berkata, pemilihan Lelaki Harapan Dunia juga adalah bagi mengotakan janji FINAS dalam membawa perubahan kepada industri perfileman Malaysia.

GALERI FOTO TAYANGAN PERDANA LELAKI HARAPAN DUNIA

REBIU FILEM LELAKI HARAPAN DUNIA


"Pada awal tahun ini, saya berjanji antara lain bahawa FINAS akan berubah arah untuk memberi tumpuan kepada kualiti dan bukannya kuantiti, dan untuk meletakkan filem-filem Malaysia di mata dunia.

“Oleh itu, hari ini kita telah membuat penyerahan pencalonan kepada Oscar. Menang bukan keutamaan kami tetapi lebih kepada memberitahu dunia bahawa filem-filem Malaysia punya cerita yang menarik untuk diberitahu kepada dunia,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Lelaki Harapan Dunia baru-baru ini telah memenangi lima anugerah di Festival Filem Malaysia (FFM) ke 27 dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik dan Penyunting Terbaik.

Filem bergenre komedi gelap itu sebelum ini telah membuat kemunculan antarabangsa di beberapa tayangan perdana antaranya di Festival Filem Antarabangsa Locarno 67, Festival Filem Antarabangsa Busan, Festival Filem Antarabangsa Golden Horse Taipei dan banyak lagi.

Lelaki Harapan Dunia
Antara barisan pelakon yang menjayakan Filem Lelaki Harapan Dunia termasuk Allahyarham Harun Salim Bachik. Lima dari kiri sutradara filem LHD, Liew Seng Tat - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR


Filem yang dibintangi oleh pelakon terkenal negara seperti Wan Hanafi Su, Sofi Jikan, Azhan Rani dan ramai lagi ini juga pernah memenangi Hadiah Khas Juri pada 2015 Festival Filem Antarabangsa Fajr di Tehran, Iran.

Menurut penerbit filem berkenaan, Sharon Gan pemilihan tersebut merupakan satu penghormatan besar buat filem tersebut.

"Produksi Lelaki Harapan Dunia amat bersyukur dan berterima kasih kepada FINAS dan Jawatankuasa Oscar dengan pemilihan ini. Kita rasa rendah diri tetapi pada masa yang sama sangat berbangga 'Lelaki Harapan Dunia' dipilih mewakili Malaysia," katanya.

'Lelaki Harapan Dunia' menjadi pencalonan ketiga filem terbitan Malaysia ke Oscar.

Sebelum ini, pencalonan sulung Malaysia adalah filem 'Puteri Gunung Ledang' di Anugerah Akademi ke-78 pada tahun 2005, sementara 'Bunohan' adalah pencalonan kedua Malaysia pada tahun 2013.

Lelaki harapan dunia
Salah satu babak dalam Lelaki Harapan Dunia

Lebih 60 negara telah menghantar pencalonan filem masing-masing ke penganjur anugerah tersebut.

Antara filem yang bertanding pada tahun ini adalah The Last Reel (Kemboja), Our Everyday Life (Bosnia), The Second Mother (Brazil), Felix and Meira (Canada) dan banyak lagi.

Dari semua pencalonan, senarai sembilan filem terpilih akan diumumkan oleh penganjur pada pertengahan Disember ini.

Dari sembilan filem itu, lima filem akan disenarai pendek bagi memilih pemenang kategori Filem Bahasa Asing Terbaik Anugerah Akademi ke 88 tahun ini.