BERBAKI sehari saja lagi sebelum penyanyi dan pelakon popular Korea Selatan, Cha Eun-Woo bertemu peminat Malaysia sempena siri jelajah 2019 CHA EUN-WOO 1st fan Meeting Tour [JUST ONE 10 MINUTE] In KUALA LUMPUR!

Eun-Woo merupakan salah seorang anggota kumpulan ASTRO yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Fantagio Music Entertainment.

Beliau bergiat aktif sejak 2016 menerusi beberapa bidang termasuk lakonan, pengacaraan termasuk menjadi duta produk.

Eun-Woo yang dikenali sebagai ‘Face Genius’ (lelaki yang sungguh tampan) bakal mengadakan sesi bertemu dengan AROHA (nama fandom ASTRO) di Dewan Wawasan, Menara PGRM pada 27 Oktober ini bermula jam 6 petang.

Sesi bertemu peminat Eun-Woo ini adalah kesinambungan daripada pelan 'Crazy 20' penganjur konsert, MacpiePro.

BACA: 'Sayang, aku rindu padamu' - Cha Eun Woo tidak sabar jumpa AROHA Malaysia

Adakah AROHA sudah tahu segala-galanya mengenai bintang sensasi Korea Selatan ini?

Ini beberapa fakta menarik yang mungkin anda tidak tahu, AROHA!

1. Nama sebenarnya Lee Dong-min

Percaya atau tidak, nama sebenarnya ialah Lee Dong-min?

Pastinya rata-rata peminatnya tidak tahu bahawa nama ‘Cha Eun-Woo’ hanya nama pentasnya.


Beliau mendapat nama ini menerusi drama web yang dibintanginya pada 2015 bersama-sama anggota ASTRO yang lain.

Dalam drama berjudul “To Be Continued”, wataknya yang bernama “Cha Eun-Woo” mencuri perhatian ramai.

Sejak itu, beliau membuat keputusan untuk menggunakan nama pentasnya itu.

2. Merupakan pelajar cemerlang sebelum menceburi dunia hiburan

Eun-Woo bukan sahaja berbakat dalam dunia kesenian malah juga merupakan pelajar cemerlang sebelum menceburi dunia hiburan.

Beliau menonjolkan sifat kepimpinan yang terserlah pada usia muda lagi.




Di zaman persekolahannya, beliau dipilih sebagai ketua kelas sebelum dilantik sebagai presiden badan pelajar sekolah ketika berada di darjah enam.

Walaupun tidak pernah melanjutkan pelajaran ke luar negara, Eun-Woo fasih berbahasa Inggeris.

Dalam rancangan realiti ‘Those Who Cross The Line’, beliau mengejutkan selebriti yang lain apabila mampu bertutur dalam bahasa Inggeris apabila membuat penggambaran di Berlin.



Beliau mendedahkan bahawa beliau belajar bahasa asing tersebut dengan tekun di sekolah.

Eun-Woo juga merupakan pemain bola sepak dan bola keranjang yang handal.

3. Melepaskan impiannya sebagai hakim untuk menjadi idol

Tahukah anda, vokalis ASTRO ini sebenarnya bercita-cita untuk menjadi seorang hakim?

Bagaimanapun, beliau terpaksa melupakan impian tersebut apabila beliau menarik perhatian pencari bakat dari syarikat Fantagio apabila masih belajar di sekolah menengah.

“Tiada sesiapa dalam keluarga saya yang menceburi industri muzik.



“Seorang pencari bakat mengikut saya hingga ke tandas untuk merekrut saya sebagai idol,” katanya dalam rancangan reality ‘Immortal Songs’."

Beliau juga mendedahkan bahawa beliau berniat melanjutkan pelajaran pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Kebangsaaan Seoul (SNU).

4. Terkenal sebagai seorang fashionista

‘Face Genius’ ini bukan sahaja terkenal kerana bakat dan rupa parasnya yang menawan, malah juga menambat hati dunia K-Pop dengan citarasa fesyennya.

Beliau sentiasa mengekalkan penampilannya sebagai fashionista di setiap majlis yang dihadirinya.

Jejaka tampan ini juga pernah diiktiraf sebagai salah seorang “Men of The Year” 2018.



foto Newsen.com


5. Gemar makan durian

Bercakap mengenai soal raja buah ini, ada yang gemar makan durian tetapi ada pula yang langsung tidak tahan dengan baunya mala menggelarnya sebagai bau keju basi.

Bagaimanapun, dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, Eun-Woo memberitahu bahawa beliau pernah makan durian dan minat memakannya.

“Durian… Saya pernah merasanya. Saya gemar makan buah-buahan.

“Saya masih ingat rasa durian itu sungguh lazat,” katanyaa apabila ditanya sama ada beliau pernah merasai durian atau nama saintifiknya 'Durio'.

Masih tidak puas dengan lima fakta menarik ini?



Usah risau! Saksikan temu bual eksklusif Eun-Woo bersama-sama Astro AWANI ini bagi mengenali bintang kegemaran anda dengan lebih dekat!


Kongsikan fakta kegemaran anda di ruang komen di bawah!