Kemeriahan Kaamatan kali ini diteruskan lagi dengan kemunculan iklan terbaharu daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang pastinya menyentuh perasaan penonton.

Filem web berdurasi 90 saat yang bertajuk "Home Is Calling" ini memaparkan elemen kekeluargaan, kebersamaan dan kesyukuran dalam tradisi masyarakat Kadazandusun Murut yang terdapat di negeri ini.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Petronas, Zahariah Abdul Rahman, berkata iklan yang dihasilkan ini mampu memberi impak yang positif kepada penonton.

Jelasnya, iklan tersebut mampu menarik golongan muda yang menetap jauh dari Sabah untuk pulang menyambut Pesta Kaamatan.

"Iklan ini berkisarkan Pesta Menuai yang disambut oleh masyarakat Sabah khususnya masyarakat Kadazandusun Murut.

"Ia mengenai generasi muda yang bekerja keras di bandar dan mengingatkan mereka untuk pulang ke kampung halaman pada Kaamatan ini," katanya.

Dalam pada itu, Zahariah juga menjelaskan, iklan ini juga menekankan aspek kepentingan kekeluargaan dalam mengekalkan tradisi dan budaya turun-temurun.

"Mesej yang ingin disampaikan menerusi iklan ini ialah sejauh mana kita pergi dalam hidup ini, kita mesti ingat asal usul kita dan yang paling penting ialah keluarga kita," katanya ketika ditemui selepas pelancaran iklan berkenaan di Pusat Kebudayaan KDCA, pada Selasa.

Sementara itu, penonton Philomena Engsun, 58 tahun, berkata tayangan iklan Petronas semalam menggamit memorinya semasa di kampung halamannya.

Katanya, dengan memaparkan nilai-nilai kekeluargaan, iklan tersebut dapat menarik penonton untuk pulang ke kampung mereka.

"Ia iklan yang bagus kerana ia mengingatkan mereka yang sibuk dan mereka yang jauh dari rumah, untuk kembali ke keluarga," katanya.

Bagi Angeline Boilis, 62 tahun, dia amat tersentuh dengan jalan cerita iklan tersebut yang dianggap sebagai satu peringatan yang baik dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton.

Jelas Angeline, elemen yang dipaparkan ini mampu memberi kesan kepada penonton untuk mengingati asal usul mereka di mana sahaja mereka berada.

"Tersentuh juga lah, saya harap para penonton nanti dapat menghayati elemen-elemen yang dipaparkan.

"Jadi saya harap jika mereka (penonton) melihat iklan itu, mereka akan ingat akan asal usul mereka," katanya.