Jenazah pelakon ternama Ashraf Sinclair selamat dikebumikan selepas Asar di tanah perkuburan San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat.

Sekitar jam 2 petang waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia), jenazah dibawa ke tanah perkuburan itu menggunakan kereta jenazah dari kediaman keluarga di Pejaten, Jakarta Selatan.

Perjalanan penuh pilu itu disertai beberapa buah pengangkutan tambahan lain termasuk empat buah bas dipercayai untuk membawa anggota keluarga terdekat dan saudara mara.

Keluarga terdekat Ashraf, yang sempat tiba di Jakarta dari Malaysia sekitar waktu tengah hari, juga sempat bersama keluarga besar dua negara itu,

Beberapa buah motosikal polis trafik bermotosikal turut mengiringi untuk melancarkan perjalanan tersebut.

Sementara itu, portal berita Kompas melaporkan, di rumah keluarga Ashraf dan Bunga Citra Lestari, terdapat banyak karangan bunga yang diberikan oleh teman-teman terdekat dan barisan selebriti tempatan.

Selain daripada kiriman rakan-rakan selebriti Indonesia, tidak ketinggalan, Presiden Indonesia Joko Widodo juga mengirimkan karangan bunga sebagai tanda takziah dan berduka cita.

Ashraf, 40 tahun, meninggal dunia pada jam 4.51 pagi Selasa akibat serangan jantung.

BACA: Bukan rezeki Ashraf bintangi muzikal PGL

BACA: Bunga Citra Lestari kehilangan kata-kata...

BACA: #PerginyaAshrafSinclair: Wan Azizah, Gobind rakam ucapan takziah

Allahyarham lahir di London, pada 18 September 1979. Kerjaya seninya di Malaysia bermula dengan berlakon iklan dan seterusnya bidang pengacaraan.

Ashraf semakin dikenali apabila terjun ke bidang lakonan, dengan filem Gol dan Gincu (2005) menjadi antara filem lakonannya yang paling popular.

Abang kepada Aishah Sinclair ini menikah dengan Bunga pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta.

Hasil perkongsian hidup Ashraf dengan Bunga, telah dikurniakan seorang anak iaitu Noah Aidan Sinclair.

BACA: Aishah Sinclair terima khabar sedih ketika baru mula tugas di konti MIX

BACA: 'Ashraf Sinclair sihat, tidak hidap penyakit' - Pengurus Bunga Citra Lestari