USAHAWAN kosmetik yang kini bergelar penyanyi, Nur Sajat tidak melayan golongan haters yang sering mencuba untuk menjatuhkannya.

Sajat juga mengibaratkan golongan haters sebagai penyampai 'santau' di zaman moden.

"Jika di zaman dahulu, kalau ada yang tak berpuas hati dengan sesetengah pihak, mereka mempercayai aktiviti mistik serta boleh menghantar santau seperti santau angin, santau makanan dan sebagainya untuk menjatuhkan seseorang.

"Zaman sekarang pula, haters yang terdiri daripada golongan keyboard warrior ini menjadi penyampai 'santau' di zaman moden. Tak perlu aktiviti mistik, mereka hanya menggunakan kata-kata kasar dan menyakitkan hati. Tujuan masih sama iaitu untuk menjatuhkan.

"Bagi saya, lebih baik jika golongan seperti ini tidak dilayan langsung kerana tak semua pihak akan berpuas hati dengan apa yang kita lakukan," kata Sajat.

BACA: Mak nyah, Nur Sajat dedah beliau sebenarnya dilahirkan khunsa

BACA: Pesan Caprice kepada netizen: 'Bagaimana jika Sajat bertaubat?'

Tambah penyanyi lagu Abang Nak Tegur ini, dia mengutamakan perasaan keluarga berbanding kata-kata orang luar yang tidak melalui situasi yang dialami oleh dirinya.

"Untuk tidak memikirkan mengenai haters, saya bergaul dengan orang yang positif. Mereka yang tidak berpuas hati boleh berkata macam-macam, tetapi ada baiknya jika saya tidak mengambil peduli dan terus melakukan apa yang saya rasakan terbaik.

"Daripada menjaga perasaan orang lain, ada baiknya jika keutamaan diletakkan kepada perasaan keluarga. Lebih baik saya menjaga perasaan famili berbanding mengambil kisah mengenai kata-kata nista orang luar yang bergelar haters," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Abang Nak Tegur baru-baru ini.

Berkolaborasi bersama jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri, video lirik Abang Nak Tegur yang dimuat naik di laman YouTube telah mencecah empat juta tontonan dalam masa sebulan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Sajat