Tutup

'Kena tahu kawal rasa gugup' - Shafie Rio

'Kena tahu kawal rasa gugup' - Shafie Rio
Persembahan Shafie diberi 'standing ovation' oleh juri. - Facebook Shafie Rio
SHAH ALAM: Vokalis kumpulan Rio, Shafie, berpuas hati dengan persembahannya pada malam konsert pembukaan Gegar Vaganza 5, Ahad lalu.

Biarpun bukan peserta favourite kebanyakan penonton, namun Shafie berjaya memukau menerusi lagu malar segar, Layu di Hujung Mekar, sehingga menerima standing ovation daripada juri.
"Saya sebenarnya tidak pernah berhenti menyanyi walaupun sibuk dengan kerjaya tetap. Sehingga kini, saya masih menerima tawaran menyanyi, cuma orang tidak nampak sebab tidak keluar televisyen," katanya.

Menyentuh tentang komen Ketua Juri, Datuk Ramli MS berkenaan kegugupan peserta, kata Shafie, ia satu perasaan biasa, namun penting untuk seseorang penyanyi itu tahu bagaimana mahu mengawal perasaan tersebut.
"Penyanyi yang setiap hari naik pentas pun akan gugup, apalagi yang sudah lama tidak muncul.

"Bagi saya, rasa gugup itu hilang apabila mendengar sorakan penonton dan melihat mereka sama-sama menyanyi. Ia jadi satu bentuk semangat kepada saya," ujarnya lagi.

BACA: Gugup 'bunuh' persembahan peserta - Ramli MS

Penyanyi berusia 52 tahun itu juga sudah bersedia untuk menerima tugasan lagu-lagu baharu pada minggu-minggu akan datang.

"Ada juga rasa gementar kerana selama ini saya hanya menyanyi lagu rock. Tetapi itulah cabaran dalam GV dan saya berharap dapat menyampaikan lagu-lagu itu dengan baik," katanya.

Gegar Vaganza musim kelima bersiaran setiap Ahad di Astro RIA dan RIA HD, jam 9 malam.